Khamis, 28 March 2019 | 6:47pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

60 mahasiswa Negeri Sembilan terima bantuan sara hidup

SEREMBAN: Seramai 60 mahasiswa anak Negeri Sembilan yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan politeknik, hari ini menerima Bantuan Sara Hidup Mahasiswa B40, selama setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan sebanyak RM100 setiap bulan itu diberikan kepada mahasiswa dari keluarga berpendapatan kurang dari RM3,930.

Katanya, kerajaan negeri berasakan terdapat keperluan untuk memberi bantuan kepada mahasiswa anak-anak Negeri Sembilan susulan laporan media yang melaporkan mengenai keluh kesah dan kesusahan mereka.

“Saya sudah syorkan menerusi Yayasan Negeri Sembilan untuk membantu mahasiswa yang menghadapi kesulitan kewangan. Hari ini kerajaan Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang memberikan bantuan seperti ini

“Objektif penyampaian bantuan ini juga adalah untuk meringankan beban perbelanjaan mahasiswa dan ibu bapa.

“Selain itu, bantuan ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masalah rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis Himpunan Mahasiswa Anak-Anak Negeri Sembilan Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di sini, hari ini

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pihaknya akan mengenal pasti lebih ramai mahasiswa yang layak untuk menerima bantuan ini melalui Majlis Hal Ehwal Pelajar IPTA atau politeknik masing-masing.

“Sebagai permulaan, hari ini kita berikan kepada kumpulan pertama yang kita kenal pasti iaitu seramai 60 mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Seremban dan Kuala Pilah, Politeknik Nilai dan Port Dickson serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan bantuan ini sudah bermula bulan ini.

“Bagi mahasiswa lain yang akan kita kenal pasti, kita jangka bantuan yang akan mereka terima seawal bulan depan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X