Khamis, 21 March 2019 | 5:10pm
Syahir Mahadi bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus bagi mendapatkan wang saku. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Syahir Mahadi bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus bagi mendapatkan wang saku. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mahasiswa bekerja sambilan tangani cabaran sara hidup

KUALA LUMPUR: Sebilangan mahasiswa sanggup bekerja sambilan dalam pelbagai sektor pasaran demi menampung kos pengajian di institusi pengajian tinggi.

Penuntut jurusan Sains Komputer Universiti Putra Malaysia (UPM), Syahir Mahadi, 23, berkata dia kini bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus bagi mendapatkan wang saku.

Katanya, dengan cara itu, dia boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa ketika kos sara hidup semakin mencabar.

Apatah lagi, katanya, dia pernah mencatu makanan dan menikmati nasi bujang untuk memastikan wang saku dapat bertahan sehingga hujung bulan.

“Sekarang, saya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan sekiranya saya terlebih berbelanja pada sebelah siang, malam nanti saya akan makan roti sekadar untuk melapik perut.

“Selalunya untuk makan tengah hari, saya akan belanja RM5 hingga RM7, bergantung kepada wang yang masih berbaki.

“Memang ada pelajar lain yang berdepan masalah sama dan berjimat-cermat adalah jalan terbaik di samping menambahkan pendapatan menerusi kerja sambilan,” katanya ketika ditemui BH, semalam.

Aishah Talib bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus bagi mendapatkan wang saku.
Aishah Talib bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus bagi mendapatkan wang saku.

Penuntut jurusan Pembangunan Sumber Manusia UPM, Aishah Talib, 24, pula berkata dia mula bekerja sejak semester pertama pengajian.

Katanya, ibu bapanya tidak memberikan perbelanjaan bulanan, malah anak sulung daripada enam beradik itu juga tidak mahu menyusahkan ibu bapanya.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekurang-kurangnya lapan jam sehari.

“Bagaimanapun, saya mula bekerja sebagai pembantu kafe bersama Syahir di kampus sejak sebulan lalu kerana lokasinya lebih dekat dan akses pengangkutan juga lebih mudah.

“Gaji digunakan untuk membiayai kelengkapan pembelajaran dan selebihnya akan disimpan sebagai persediaan yuran konvokesyen nanti,” katanya.

Aishah berkata, dia sendiri suka berdikari dan gemar bekerja sambilan bagi mengisi masa lapang.

“Saya anggap pengalaman yang diperoleh ini adalah satu cara membina keyakinan diri sebelum menempuh alam pekerjaan,” katanya.

Ahad lalu, laporan khas BH mengetengahkan isu pelajar di universiti yang terpaksa `mengikat perut’ kerana berdepan tekanan kos sara hidup.

Berita Harian X