Isnin, 11 March 2019 | 3:57pm
KEADAAN jalan rosak akibat kenderaan berat. - Foto Ihsan pembaca
KEADAAN jalan rosak akibat kenderaan berat. - Foto Ihsan pembaca

Kenderaan berat rosakkan jalan, susahkan penduduk

SEPANG: Penduduk di Kampung Olak Lempit di sini meminta pihak berkenaan memberi perhatian terhadap beberapa jalan kampung yang rosak sehingga menyusahkan orang ramai.

Keadaan jalan mendap dan retak disebabkan kenderaan berat yang memasuki jalan kampung itu bagi mengangkut barangan projek pembangunan perumahan berhampiran, sekali gus membahayakan pengguna.

Ketua Unit Peladang Kampung Olak Lempit, Hanip Lassim, 66, berkata enam jalan kampung dikenal pasti rosak termasuk Jalan 20, Kempas, Darul Syifa, Seri Gambut dan Bukit Perah 2.

Katanya, jalan yang dibina di bawah projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu mula rosak sejak tahun lalu apabila banyak projek perumahan dibangunkan di kawasan sekeliling kampung itu.

Menurut beliau, jalan itu adalah laluan utama penduduk setiap hari untuk berulang alik atas urusan kerja selain mengeluarkan hasil pertanian seperti kelapa sawit, pisang dan sayur-sayuran untuk dipasarkan.

“Bagi mengelakkan jalan berkenaan bertambah teruk, pihak berwajib perlu memantau kenderaan berat yang keluar masuk di laluan ini termasuk mengarahkan mereka yang berkenaan membaikpulih kerosakan yang berlaku itu," katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.

Tinjauan BH ke kawasan itu mendapati beberapa projek perumahan dibangunkan atas tanah penduduk dan ada sebahagiannya tidak membina prasarana seperti longkang besar bagi mengalirkan air sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan tanaman penduduk ketika berlaku hujan lebat.

Selain itu, keadaan jalan juga menjadi kotor kerana lori yang keluar masuk ke tapak projek perumahan itu tidak dibersihkan dan keadaan menjadi lebih buruk apabila musim hujan kerana banyak kesan lecah di jalan raya.

Pesara kerajaan, Hanip Dollah, 67, berkata keadaan jalan yang rosak itu boleh mengundang kemalangan terutama bagi yang menggunakan motosikal kerana boleh terbabas sekiranya tayar motosikal memasuki lubang yang pada jalan yang rosak itu.

Menurut beliau, penduduk tiada tempat mengadu kerana ketua kampung masih belum dipilih sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir pada tahun lalu, sekali gus merugikan penduduk kerana peruntukan kerajaan tidak dapat disalurkan terutama bagi menyelenggara jalan yang rosak itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah, ketika ditemui BH berkata pihaknya sudah mengenal pasti jalan yang rosak itu pada penghujung tahun lalu serta sudah mengemukakannya kepada KPLB untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pemantauan pihaknya mendapati beberapa projek perumahan yang dibangunkan itu adalah milik penduduk kampung dan sukar bagi mereka menyediakan infrastruktur seperti longkang besar mengalirkan air kerana membabitkan banyak pihak termasuk penggunaan tanah milik orang lain.

Dalam perkembangan lain, berhubung Ketua Kampung Olak Lempit, beliau memaklumkan pihaknya sudah menemui pihak kerajaan negeri Selangor berhubung perkara itu dan pemilihan calon akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berita Harian X