Isnin, 11 March 2019 | 3:39pm
FOUZI Ali.
FOUZI Ali.

Aktiviti pertanian di Kedah tidak terjejas

ALOR SETAR: Aktiviti pertanian terutama tanaman padi tidak mengalami masalah bekalan air walaupun Kedah ketika ini mengalami musim kemarau.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali, berkata walaupun Kedah berhadapan cuaca panas berpanjangan, ia tidak menjejaskan pesawah kerana sekarang musim menuai.

“Buat masa ini, tiada sebarang masalah dihadapi, malah MADA tidak mempunyai sebarang laporan mengenai pesawah terjejas kerana musim kemarau.

“Sekarang musim menuai, maka sudah pastinya isu ketiadaan air tidak timbul, malah empangan kita juga mempunyai bekalan air.

“Pesawah hanya akan mula tanam padi pada pertengahan bulan depan dan apabila timbulnya isu musim kemarau, kita bernasib baik kerana sekarang adalah musim menuai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat MADA, Mohd Hafizi Zakaria, dilaporkan berkata paras takungan air di tiga empangan utama seliaan MADA iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning menurun sedikit berbanding dua minggu lalu, tetapi tidak menjejaskan bekalan air di negeri ini.

Berita Harian X