Ahad, 24 Februari 2019 | 7:31pm
Mukhriz dan Rina (dua dari kiri) bersama penerima watikah, sijil kursus sempena Kursus Induksi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Wawasan Jitra hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Mukhriz dan Rina (dua dari kiri) bersama penerima watikah, sijil kursus sempena Kursus Induksi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Wawasan Jitra hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kerajaan negeri bertindak jika ada pencemaran

JITRA: Penguat kuasa peringkat kerajaan negeri ialah pihak terawal yang akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, jika berlaku aktiviti yang menjejaskan sumber semula jadi seperti sungai, kerajaan negeri tidak akan menunggu tindakan daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terbabit.

“Yang akan menerima kesan (pencemaran) terlebih dahulu ialah peringkat negeri. Jadi kita akan pastikan tidak berlaku sebarang pencemaran.

“Kita sangat berhati-hati dalam bab ini sebab sungai sumber air untuk pelbagai kegunaan di negeri ini termasuk untuk minum,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin Bersempena Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin yang mengatakan kerajaan negeri bakal berdepan tindakan saman oleh Kerajaan Persekutuan jika premis atau projek pembangunan di negeri masing-masing menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Semalam, BH melaporkan Yeo sebagai berkata, tindakan itu antara pendekatan tegas kementerian bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Yeo berkata, 25 sungai meliputi empat negeri maju berada pada Kelas 5 dalam senarai sungai paling tercemar di negara ini.

Mukhriz berkata, tidak berlaku pencemaran serius membabitkan sungai di Kedah, namun kerajaan negeri sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan segera jika berlaku. - BERNAMA

Berita Harian X