Isnin, 18 Februari 2019 | 3:01pm
PKharudin bersama Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh melihat papan tanda jenis salah laku sempena Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di SMK FELDA Seri Sendayan, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
PKharudin bersama Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh melihat papan tanda jenis salah laku sempena Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di SMK FELDA Seri Sendayan, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

10,154 kes disiplin babit pelajar tahun lalu

SEREMBAN: Sebanyak 10,154 kes disiplin bagi pelbagai kesalahan membabitkan pelajar di negeri ini, direkodkan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata daripada jumlah itu, kesalahan ponteng sekolah mencatat bilangan tertinggi, iaitu 7,709 kes, manakala baki adalah kes disiplin lain seperti tingkah laku kurang sopan, kekemasan diri dan vandalisme.

Beliau berkata, statistik itu menunjukkan usaha menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar perlu digembleng secara bersepadu oleh semua pihak terbabit, secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun, katanya, bagi membudayakan lebih banyak nilai murni dan mengurangkan masalah disiplin, JPNS menggalakkan perekodan amalan baik pelajar ke dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Tahun lalu, sebanyak 94.91 peratus amalan baik pelajar direkodkan semua sekolah di Negeri Sembilan. Ia menunjukkan perkembangan positif dalam mendidik pelajar menjadi orang yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, pendekatan pihaknya mewujudkan sistem merekod amalan baik itu dilihat berjaya mengatasi masalah disiplin, sekali gus menambah minat pelajar ke sekolah.

“Guru akan merekodkan setiap amalan baik pelajar untuk memupuk nilai murni dan membina keyakinan diri mereka. Kita jangan terlalu cakap negatif sahaja mengenai pelajar yang akhirnya akan merosakkan mereka.

“Ia antara kaedah psikologi terbalik bagi melahirkan anak yang baik lagi cerdik. Apabila pelajar baik, mereka tidak akan terbabit masalah disiplin dan salah laku jenayah, seterusnya memanfaatkan diri untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, selain guru dan ibu bapa, kerjasama masyarakat juga penting dalam usaha melahirkan pelajar memiliki sahsiah diri yang tinggi serta cemerlang, sekali gus menyumbang kepada negara.

Berita Harian X