Jumaat, 8 Februari 2019 | 5:37pm
ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis menjayakan program gaya hidup sihat dan komuniti di kawasan perkuburan Masjid Batu 6, Penjom, Lipis, hari ini. - Foto ihsan IPD Lipis
ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis menjayakan program gaya hidup sihat dan komuniti di kawasan perkuburan Masjid Batu 6, Penjom, Lipis, hari ini. - Foto ihsan IPD Lipis

116 pegawai, anggota polis IPD Lipis santuni penduduk di Penjom

LIPIS: Seramai 116 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menyertai program gaya hidup sihat dan komuniti di kawasan perkuburan Masjid Batu 6, Penjom di sini, hari ini.

Mereka yang diketuai Pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Mat Zain Mat Dris dan penduduk kampung di situ bergotong-royong membersihkan kawasan di sekitar perkuburan dan Masjid Batu 6, Penjom.

Mat Zain berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat setempat.

“Ia juga dapat meningkatkan tahap kesihatan mereka yang terbabit dan meningkatkan tahap muhasabah diri dalam kalangan pegawai dan anggota.

“Malah kita mengharapkan program sebegini dapat memupuk semangat berpasukan,” katanya.

Seramai 16 pegawai kanan, 95 lain-lain pangkat dan lima pegawai awam hadir menjayakan program berkenaan.

Mat Zain berkata, aktiviti gotong-royong berkenaan berjalan lancar dari mula hingga selesai.

“Program ini akan diadakan sekerap mungkin pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung diketuai imam Masjid Batu 6, Mohd Yaasin Kassim, pengerusi masjid, Mohd Noh Teh dan pegawai perhubungan masjid, SM Ibrahim Mat Saman turut menjayakan program terbabit.

Berita Harian X