Ahad, 3 Februari 2019 | 12:11pm
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon bersama Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Muslim Manja (kiri) merasmikan program Jualan Jimat Belanja Tahun Baru Cina 2019 di Pasar Tani Paroi Jaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon bersama Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Muslim Manja (kiri) merasmikan program Jualan Jimat Belanja Tahun Baru Cina 2019 di Pasar Tani Paroi Jaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Bekalan makanan mencukupi, harga berpatutan

SEREMBAN: Bekalan makanan di negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina mencukupi, malah dijual dengan harga berpatutan menerusi Program Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Muslim Manja, berkata setakat ini bekalan makanan seperti ikan, udang, telur serta sayuran mampu menampung permintaan.

Malah katanya, sejak Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019 dimulakan pada Khamis lalu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan atau harga mahal dari pasaran.

“FAMA memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di pasar tani adalah berpatutan, terkawal serta kompetitif.

“FAMA juga akan memastikan peniaga pasar tani tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dengan menjalankan pemantauan berterusan,” katanya selepas majlis perasmian Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019 di Pasar Tani Paroi Jaya di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Justeru Muslim berkata, FAMA akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan ditetapkan bagi 12 komoditi terpilih.

Sementara itu katanya, sepanjang tahun lalu, nilai jualan keseluruhan yang berjaya diperoleh menerusi 24 Pasar Tani di negeri ini berjumlah RM26.1 juta.

Katanya, Pasar Tani Ampangan yang mempunyai seramai 92 peniaga mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak RM3.2 juta diikuti Pasar Tani Paroi Jaya (RM3.1 juta) dan Pasar Tani Rembau (RM2.1 juta).

Berita Harian X