Sabtu, 2 Februari 2019 | 5:38pm
AHLI jemaah masjid Peringgit kagum dengan jam matahari namun ianya tidak dapat menentukan masa pada waktu malam. - Foto Nazri Abu Bakar
AHLI jemaah masjid Peringgit kagum dengan jam matahari namun ianya tidak dapat menentukan masa pada waktu malam. - Foto Nazri Abu Bakar

Keunikan jam matahari 100 tahun

MELAKA: Biarpun sudah berusia lebih 100 tahun, jam matahari yang suatu ketika dulu digunakan penduduk di Kampung Peringgit, di sini, masih berkeadaan baik dalam pekarangan Masjid An-Nur Peringgit.

Malah, alat pengukur masa itu terus menjadi tumpuan, terutama bagi jemaah luar yang mengunjungi masjid bersejarah itu untuk menunaikan solat berjemaah.

Lebih menarik, jam matahari yang berada di masjid antara tertua di negara ini ketika zaman penjajahan Portugis sekitar tahun 1720 dan diperbaharui pada 1954 itu masih dapat dilihat di tepi tempat berwuduk di pekarangan masjid.

Penduduk, Ramli Daud, 73, berkata jam berkenaan memudahkan penduduk pada masa lalu mengetahui pergerakan masa berdasarkan bayang yang terhasil pada permukaannya.

Katanya, penggunaan jam matahari pada masa dahulu adalah sumber rujukan terpenting, terutama bagi mengetahui waktu solat kerana belum ada lagi teknologi jam.

“Permukaannya yang rata dengan tanda tertentu menyukat masa dan tiang kecil di tengahnya membolehkan bayang matahari mengenai sukatan bagi memberikan masa sebenar.

“Putaran waktu ditunjukkan selaras perubahan pada kedudukan matahari dan apabila bayangan berubah, masa akan turut berubah,” katanya ketika ditemui di Masjid An-Nur Peringgit, di sini, hari ini.

Ramli berkata, selain menentukan waktu solat fardu, jam berkenaan pada masa lalu juga digunakan bagi menentukan jadual dan aktiviti penduduk seperti bersawah, menoreh getah dan bergotong-royong.

“Bagaimanapun, jam ini hanya boleh menentukan waktu pada siang dan tidak berfungsi pada sebelah malam kerana ia hanya bergantung kepada cahaya matahari,” katanya.

Berita Harian X