Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:56am
NORDIN Siman ketika hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-19 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah
NORDIN Siman ketika hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-19 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Misi baharu DBKK

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited untuk melaksanakan penambahbaikan dalam sistem penyampaiannya sejajar misi baharu bertemakan `Bergerak Pantas Ke Hadapan: Inovatif, Efisien dan Efektif’.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, berkata pendekatan baharu itu bertujuan menjadikan sistem penyampaian DBKK lebih cepat dan cekap, pegawai lebih inovatif membuat tindakan dan membaiki sistem sedia ada yang kurang cekap.

Beliau berkata, pegawai DBKK mesti bertindak dengan efisien untuk memuaskan hati pelanggan, sekali gus menjadikan DBKK yang kini mencecah usia 19 tahun sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih cemerlang.

“Misi ini menjadi budaya korporat kita yang baharu sebagai panduan untuk menerajui kecemerlangan DBKK.

“Selepas 19 tahun kita nampak perubahan besar dari segi pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kebersihan bandar raya yang menunjukkan peningkatan ketara tetapi kita cuba tingkatkan lagi pencapaian berpandukan budaya atau slogan baharu kita,” katanya.

NORDIN Siman memeriksa barisan kawalan kehormat ketika hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-19 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah
NORDIN Siman memeriksa barisan kawalan kehormat ketika hadir pada Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-19 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Upacara Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun Ke-19 Bandar Raya Kota Kinabalu di perkarangan Bangunan DBKK, di sini, hari ini.

Nordin yang genap 33 hari menjadi Datuk Bandar hari ini, berkata menerusi tema atau slogan baharu itu, DBKK menyasarkan untuk terus memperbaiki infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat bandar raya.

Terdahulu, beliau berkata, keberkesanan DBKK perlu mencapai tahap maksimum untuk memastikan 34 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disenaraikan dalam bidang keberhasilan negeri Sabah dapat dicapai.

“Petunjuk prestasi ini perlu dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu tahap keberkesanan organisasi ini haruslah pada tahap maksimum, selain kita juga harus memastikan tiada pembaziran atau kesilapan dalam kita mencapai sasaran,” katanya.

Dalam hal lain, Nordin berkata DBKK sedia membantu pemaju projek KK Skybridge yang melaksanakan pembinaan jejambat pejalan kaki baharu menghubungkan Asia City dengan Api-Api Centre, pusat beli-belah Centre Point dan Oceanus, di sini.

Katanya, masalah dihadapi pemaju sehingga menyebabkan kemudahan baharu bernilai RM31.5 juta itu belum dapat dibuka kepada orang ramai selepas dua tahun dibina perlu diselesaikan.

Berita Harian X