X
Khamis, 24 Januari 2019 | 3:13pm
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Ir Amrullah @ Ambrullah Kamal (tengah) hadir pada Majlis Tilawah Al Quran, di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Ir Amrullah @ Ambrullah Kamal (tengah) hadir pada Majlis Tilawah Al Quran, di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

Belum sesuai bincang 'pulau kucing'

KOTA KINABALU: Cadangan mewujudkan ‘pulau kucing’ yang disarankan seorang doktor haiwan bagi melindungi kucing terbiar di negeri ini, belum masanya untuk dibincangkan di peringkat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Sebaliknya, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Amrullah Kamal, menyarankan individu yang memiliki begitu banyak kucing agar membelanya di rumah sendiri, terutama yang memiliki halaman luas, atau mewujudkan mini zoo untuk haiwan terbabit.

“Ini (mewujudkan pulau kucing) sesuatu yang baru bagi saya. Kalau kucing disimpan (diletakkan) di pulau, apa pula persepsi (orang ramai) nanti. Saya cadangkan supaya kucing diletakkan di rumah masing-masing, bagi yang ada halaman luas, boleh buat seperti zoo sendiri.

“Sebab sekarang di negara-negara Barat pun, ada pemilik memiliki 20 hingga 30 kucing, mereka buat zoo sendiri dan ini lebih baik daripada kucing diberikan kepada institusi.

“Saya rasa belum sampai masanya dibincangkan (di peringkat DBKK) untuk dibuatkan pulau (kucing),” katanya kepada media selepas merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan NSTP, baru-baru ini, berhubung cadangan Dr Randolf Paza yang juga sukarelawan Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) untuk mewujudkan sebuah ‘pulau kucing’.

Dr Randolf dilaporkan berkata, beliau berharap kerajaan dapat mewartakan sebuah pulau di sekitar Kota Kinabalu untuk menempatkan kucing di pulau yang terbiar.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Hasbollah Mohd Taha, berkata pemenang Qari dan Qariah dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu akan bertanding di peringkat negeri pada 20 hingga 22 Februari depan di Masjid Negeri.

“Peserta di peringkat negeri diharap dapat mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan, seterusnya menjadi johan pada pertandingan itu,” katanya.

Berita Harian X