Khamis, 17 Januari 2019 | 2:23pm
Ahmad Samsuri berucap merasmikan Majlis Pelancaran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/Imran Makhzan
Ahmad Samsuri berucap merasmikan Majlis Pelancaran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/Imran Makhzan

Jangan buat aktiviti syok sendiri - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengingatkan semua agensi kerajaan tidak menjalankan program syok sendiri, sebaliknya menjalankan program bermanfaat untuk rakyat tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik dan agama.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata semua rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik perlu diberi hak sama rata untuk menyertai pelbagai program kemasyarakatan, terutama membabitkan aktiviti kebajikan.

"Masalah dihadapi dan dibangkitkan semua rakyat, terutama membabitkan isu kebajikan perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak ada antara mereka kecewa serta memandang serong kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengarah i-MiTS, Kamaruzaman Abdullah.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menubuhkan i-MiTS bagi membantu kerajaan mengadakan pelbagai program dan aktiviti, termasuk menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan untuk disampaikan secara terus kepada seluruh rakyat di 32 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri difahamkan sebanyak 1,234 aktiviti dan program kemasyarakatan membabitkan lebih 172,000 rakyat berjaya diadakan oleh i-MiTS sejak ditubuhkan Julai tahun lalu.

"Kerajaan negeri meminta i-MiTS mengemukakan laporan, terutama membabitkan keberkesanan kepada rakyat setiap aktiviti dan program diadakan," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, laporan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri melakukan penambahbaikan serta menyelesaikan pelbagai permasalahan dibangkitkan rakyat melalui aktiviti dan program yang diadakan.

Berita Harian X