Rabu, 9 Januari 2019 | 1:28pm

Kes denggi di Melaka naik 118 peratus

MELAKA: Kes denggi di negeri ini meningkat 118 peratus atau 24 kes bagi tempoh minggu pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Semua kes berkenaan membabitkan di tiga daerah di negeri ini.

EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong, berkata daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah demam denggi tertinggi dengan 17 kes diikuti Jasin (lima) dan Alor Gajah (dua), sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 13 kes.

Beliau berkata, semua 24 kes itu direkodkan dalam tempoh lapan hari bermula 1 Januari lalu, berbanding tempoh sama 11 kes pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, situasi ini masih terkawal dan tidak berada dalam keadaan serius sehingga membabitkan demam denggi berdarah atau kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program lawatan bersama pemandu pelancong ke kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Tahun lalu, sebanyak 722 kes demam denggi direkodkan, berbanding 1,426 kes pada tahun 2017.

Chee Leong berkata, pada masa kini terdapat dua kawasan lokaliti wabak aktif demam denggi direkodkan iaitu di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh bagi daerah Melaka Tengah dan Taman Seri Hilir di Jasin di sini.

“Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan berterusan di lokasi yang dikenal pasti bagi menangani wabak ini daripada terus merebak.

“Malah, kerajaan negeri turut meminta kerjasama masyarakat setempat untuk sentiasa mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan tempat tinggal, terutama mengesan tempat tadahan air,” katanya.

Berita Harian X