Isnin, 7 Januari 2019 | 6:23pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kanan) ketika mesyuarat bersama JPJ Gua Musang, Raub, Simpang Pulai dan Cameron Highlands di Pejabat JPJ Cameron Highlands. - Foto L Manimaran
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kanan) ketika mesyuarat bersama JPJ Gua Musang, Raub, Simpang Pulai dan Cameron Highlands di Pejabat JPJ Cameron Highlands. - Foto L Manimaran

JPJ tempatkan alat timbang mudah alih di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan alat timbang mudah alih di daerah ini bagi memudahkan penguatkuasaan JPJ terhadap pemilik kenderaan perdagangan.

Ia turut memudahkan pemilik kenderaan perdagangan kerana tidak perlu membawanya ke stesen timbang JPJ yang terletak jauh dari daerah ini iaitu di Tapah, Perak dan Karak, Pahang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya menerima aduan daripada petani yang terpaksa pergi ke stesen timbang di Tapah atau Karak untuk menimbang muatan dibawa sekiranya operasi dijalankan JPJ.

“Ini akan mengambil masa yang lama kerana mereka perlu pergi ke Tapah atau Karak, petani mengadu yang sayur-sayuran dan buah-buahan dibawa mereka akan rosak disebabkan jarak yang jauh dari Cameron Highlands.

“Justeru, saya sudah mengarahkan JPJ supaya menempatkan alat penimbang mudah alih bagi memudahkan pemilik kenderaan perdagangan di sini, sekali gus memudahkan JPJ dalam pelaksanaan undang-undang ini.

“Namun, pihak kami berharap kenderaan perdagangan di Cameron Highlands tidak akan membawa muatan melebihi jumlah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama JPJ Gua Musang, Raub, Simpang Pulai dan Cameron Highlands di Pejabat JPJ Cameron Highlands, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Terdahulu, Loke turut mengadakan sesi dialog dengan petani dan industri pelancongan Cameron Highlands di sebuah resort di sini bagi mengetahui permasalahan dihadapi mereka membabitkan isu pengangkutan.

Loke berkata, pihak JPJ juga akan menyediakan satu buku garis panduan pemeriksaan bagi memudahkan pemilik kenderaan perdagangan di Cameron Highlands mengetahui garis panduan ditetapkan JPJ.

“Bagi mengelakkan kekeliruan pemilik kenderaan perdagangan apabila berhadapan penguatkuasaan, satu buku garis panduan akan dicetak dan diedarkan kepada pemilik kenderaan di Cameron Highlands.

“Apabila ada penguatkuasaan, mereka boleh menyemak buku garis panduan itu dan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan kepada mereka, buku ini akan dicetak dalam masa terdekat,” katanya.

Berita Harian X