Isnin, 17 Disember 2018 | 2:45pm
Menteri Besar, Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2019 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Menteri Besar, Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2019 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kakitangan awam NS dapat bonus sebulan gaji

SEREMBAN: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata pemberian itu membabitkan seramai 3,560 kakitangan awam dengan pembayaran sebanyak dua kali.

Katanya, pembayaran kali pertama separuh gaji atau RM1,000 akan dibayar pada minggu pertama Januari, manakala pembayaran kedua seminggu sebelum Aidilfitri.

“Pemberian bantuan khas ini membabitkan peruntukan sebanyak RM10.5 juta dan diharap dapat memberi dorongan dan motivasi kepada kakitangan awam untuk melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2019 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini, hari ini.

Selain itu, Aminuddin turut mengumumkan bantuan yuran bas sekolah bernilai RM50 sebulan kepada seramai 1,500 murid dari keluarga miskin di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK).

Katanya, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM900,000 setahun.

“Kerajaan juga bersetuju menyediakan perkhidmatan bas percuma dengan peruntukan sebanyak RM300,000 setahun.

“Sebagai permulaan, perkhidmatan ini akan dimulakan di bandar Seremban,” katanya.

Berita Harian X