Sabtu, 8 Disember 2018 | 12:39pm

Kanak-kanak 3 tahun peserta termuda program khatan

SEREMBAN: Usia yang baru mencecah tiga tahun tidak menghalang Roshaam Rhyan Muhd Azwar menyertai program khatan beramai-ramai anjuran Masjid Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah di sini, bersama kanak-kanak lain yang lebih tua daripadanya.

Ditemani ibu bapanya, Siti Aisyah Abdullah, 40, dan Muhd Azwar Vijay Kumar, 44, serta abangnya, Muhd Arif, 10, yang turut menyertai program itu, Roshaam kelihatan ceria dan bersemangat sebaik tiba di perkarangan masjid.

Siti Aisyah berkata, beliau mengambil masa dua bulan untuk memujuk kedua-dua anaknya itu menyertai program berkhatan beramai-ramai itu yang pertama kali diadakan oleh pihak pengurusan masjid berkenaan.

“Selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya mereka bersetuju. Anak-anak saya tambah bersemangat apabila melihat ramai kanak-kanak lain turut menyertai program berkhatan ini,” katanya.

Seramai 54 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun menyertai upacara berkhatan beramai-ramai anjuran Masjid Dato Bandar Haji Ahmad Rasah, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad
Seramai 54 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun menyertai upacara berkhatan beramai-ramai anjuran Masjid Dato Bandar Haji Ahmad Rasah, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Gelagat kanak kanak menahan sakit ketika menyertai sebahagian 54 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun menyertai upacara berkhatan beramai-ramai anjuran Masjid Dato Bandar Haji Ahmad Rasah, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Walaupun segelintir pihak berpendapat usia tiga tahun terlalu muda untuk dikhatankan, tetapi Siti Aisyah berkata, beliau yakin proses berkhatan anak-anaknya akan berjalan lancar.

Sementara itu, gelagat seorang ayah dan anak yang mandi bersama ketika upacara simbolik mandi beramai-ramai di bawah pancuran air sebelum upacara berkhatan diadakan, turut mencuri tumpuan ramai.

Sazali Ismail, 31, terpaksa menemani anak sulungnya, Dzal Aidi Sazali, 8, yang menangis ketakutan kerana tidak mahu dikhatankan.

Ibunya, Maria Mansor, 30, berkata beliau terpaksa berjanji memberi hadiah kepada anaknya bagi memujuk dan menenangkannya.

“Saya berjanji akan membawanya ke taman tema Legoland selepas dia sembuh nanti. Saya berdoa semuanya akan berjalan lancar,” katanya.

Seramai 54 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun menyertai upacara berkhatan beramai-ramai itu yang bermula jam 8 pagi tadi.

Program itu yang mendapat kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dimulakan dengan bacaan doa beramai-ramai sebelum semua kanak-kanak dimandikan di bawah pancuran air dalam satu upacara simbolik yang diadakan di hadapan perkarangan masjid.

Pengerusi Kariah masjid, Datuk Abdul Wahab Mohd Hanipah, pula berkata program itu diadakan bagi membantu mengurangkan beban penduduk untuk mengeluarkan kos berkhatan yang semakin meningkat hari ini.

Gelagat Roshaam Rhyan Muhd Azwar, 3 bersama ibunya ketika menunggu berkhatan ketika menyertai sebahagian 54 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun menyertai upacara berkhatan beramai-ramai anjuran Masjid Dato Bandar Haji Ahmad Rasah, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Berita Harian X