Selasa, 4 Disember 2018 | 12:08pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Piawaian ketat sisa kumbahan mulai 1 Januari 2019

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menguatkuasakan piawaian lebih ketat berhubung sisa buangan atau kumbahan kilang kelapa sawit dan getah bermula 1 Januari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal, berkata penguatkuasaan piawaian itu juga terpakai bagi semua projek pembangunan yang tertakluk kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Katanya, penguatkuasaan itu bertujuan mengurangkan beban pencemaran kumbahan dari kilang kelapa sawit dan getah yang dilepaskan ke dalam sungai di negeri ini.

“Bermula 1 Januari 2019, kilang kelapa sawit dan getah dikehendaki mematuhi standard (piawaian) pelepasan sama ada ke alur air atau tanah yang lebih ketat iaitu Standard Pelepasan kepada Standard A.

“Begitu juga dengan projek pembangunan yang tertakluk kepada EIA untuk patuh kepada Standard A bagi pelepasan ke salur air.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil bagi sebarang ketidak patuhan dengan mengeluarkan notis arahan, tawaran kompaun, tindakan mahkamah, tahan operasi penyitaan, pelucuthakan/pelupusan hak, perintah larangan, perintah berhenti kerja, gantung/batal lesen dan tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Sulaiman Mohd Nor (PH AMANAH-Kemelah) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan pencemaran sungai tidak berlarutan, pada penggal persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ke-14 di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, antara punca pencemaran sungai di Johor termasuklah akibat aktiviti komersial iaitu restoran, gerai, pasar basah, pusat cuci kenderaan, tapak sampah haram dan sebagainya yang tidak tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak untuk memastikan kualiti air sungai dapat dipulihkan,” katanya.

Berita Harian X