Sabtu, 24 November 2018 | 6:50pm
PUSAT Pemindahan Banjir tutup pada jam 4 petang di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
PUSAT Pemindahan Banjir tutup pada jam 4 petang di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Banjir surut, PPS di Melaka ditutup sepenuhnya

MELAKA: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Durian Tunggal, dekat Alor Gajah, ditutup pada jam 4 petang, hari ini.

Sekretariat Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata dengan penutupan PPS berkenaan, maka semua pusat pemindahan di seluruh negeri ini ditutup sepenuhnya selepas beroperasi hampir seminggu.

“SK Belimbing menempatkan seramai 34 mangsa membabitkan 11 keluarga pada jam 12 tengah hari tadi, sebelum ditutup pada jam 4 petang susulan semua mangsa terjejas banjir sudah pulang ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, pihak sekretariat sentiasa bersedia dan bersiap siaga melakukan pemantauan paras air sungai bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, petang ini.

Isnin lalu, beberapa kawasan di Alor Gajah dilanda banjir kilat berterusan selama lima jam sejak jam 1.30 pagi menyebabkan hampir 1,000 penduduk di kawasan sekitar terjejas.

Keadaan itu menyebabkan sebanyak tujuh PPS di daerah Alor Gajah dan satu di daerah Melaka Tengah dibuka bagi memudahkan urusan mangsa banjir.

Berita Harian X