Jumaat, 23 November 2018 | 3:10pm
KEADAAN rumah mangsa yang dihempap pokok kelapa yang tumbang dalam kejadian angin kencang di Bintangor. - NSTP/Khalid Latip
KEADAAN rumah mangsa yang dihempap pokok kelapa yang tumbang dalam kejadian angin kencang di Bintangor. - NSTP/Khalid Latip

'Rumah bergegar akibat angin kencang'

BINTANGOR: “Angin terlalu kuat hingga rumah pun bergegar,” kata Jamil Aini, 40, susulan insiden angin kencang yang melanda Kampung Abang Ali, di sini, malam kelmarin.

Malah, rumah didiami beliau turut ranap selepas ditimpa pokok kelapa susulan insiden itu.

“Hanya terfikir keselamatan isteri dan anak-anak ketika itu. Memang keadaan angin agak luar biasa malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Jamil dan isteri, Syamsuzi Armri, 42, tiga anak serta anak saudara mereka berusia antara tujuh hingga 27 tahun terselamat dan tidak cedera.

“Ketika kami berehat, tiba-tiba kilat sabung menyabung disusuli angin kencang dan hujan lebat.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar pokok patah sebelum dentuman kuat. Sebaik melihat keluar jendela, sebatang pokok kelapa menghempap rumah kami.

“Syukur, hanya bahagian beranda rosak dan semua anggota keluarga saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.42 malam.

Katanya, pokok kelapa yang tumbang itu bukan sahaja menghempap bumbung beranda tetapi juga kabel elektrik berhampiran rumah mangsa.

“Selepas membuat tinjauan, operasi mengalih pokok itu tidak dapat dijalankan kerana kabel mempunyai arus elektrik, manakala keadaan atap beranda rumah pula licin dan boleh membahayakan keselamatan.

“Kita turut merujuk kes ini kepada petugas SESCO Berhad bagi membaiki kerosakan kabel berkenaan,” katanya.

Berita Harian X