Selasa, 20 November 2018 | 4:50pm
ADLY Zahari (kanan) melihat keadaan banjir di Kampung Belimbing Dalam. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
ADLY Zahari (kanan) melihat keadaan banjir di Kampung Belimbing Dalam. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Gesa mangsa banjir buat laporan polis - KM Melaka

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri menggesa mangsa banjir tampil membuat laporan polis supaya agihan bantuan dapat disalurkan sebaiknya.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata buat masa ini kebajikan mangsa banjir dan bantuan pasca banjir akan diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Esok pada mesyuarat EXCO, saya akan meneliti jumlah mangsa banjir dan akan menguruskan bantuan kepada mangsa terbabit.

“Disebabkan itu kita perlu mendapatkan jumlah angka tepat dan mereka yang terbabit perlu tampil membuat laporan polis supaya bantuan kewangan dapat disalurkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat serta menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abd Wahab; Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Zaidi Safuan dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali.

Adly berkata, kerajaan negeri juga menitikberatkan tiga aspek penting di PPS iaitu perkhidmatan makanan, kebersihan dan kesihatan supaya mangsa berada dalam keadaan selesa dan selamat.

Sementara itu, Effendy berkata, sehingga jam 1 petang tadi, hanya satu pusat pemindahan ditutup iaitu di Balai Raya Seri Jeram yang menempatkan seramai empat mangsa.

Beliau berkata, tujuh lagi pusat pemindahan termasuk sebuah di PPS Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong di Melaka Tengah, masih lagi dibuka.

“Semua mangsa yang masih berada di PPS ketika ini seramai 987 orang membabitkan 274 keluarga.

“PPS SK Belimbing Dalam merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 284 orang, diikuti PPS SK Lesung Batu, seramai 205 mangsa dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jelatang seramai 150 orang,” katanya.

Berita Harian X