Ahad, 4 November 2018 | 3:38pm
Ketua Menteri, Adly Zahari. - Foto Rasul Azli Samad
Ketua Menteri, Adly Zahari. - Foto Rasul Azli Samad

18 jejantas baharu atasi kesesakan di Melaka

AYER KEROH: Melaka memerlukan sebanyak 18 jejantas baharu sebagai antara langkah strategik membantu penguraian trafik dan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata pembinaan jejantas baharu di lokasi persimpangan strategik serta laluan utama di negeri ini dilihat antara jalan penyelesaian terbaik bagi menangani kesesakan lalu lintas yang kronik, khususnya pada musim cuti sekolah.

“Kalau diikutkan, setiap tahun kita diberikan antara dua atau tiga (pembinaan jejantas), tetapi jika keperluan penyelesaian lalu lintas, Melaka sebenarnya memerlukan 18 jejantas keseluruhan.

“Tetapi, jika dapat peruntukkan dua jejantas setiap tahun sudah memadai. Kita melihat juga bajet (Belanjawan 2019) Kerajaan Persekutuan untuk jaringan jalan raya sedia ada, selain mahu cadangan projek ‘inner ring road’ dan ‘outer ring road’ diteliti bagi membantu penguraian kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Hari Bertemu Rakyat bersama Ketua Menteri di Dewan Seri Bendahara, di sini.

Semalam, Adly dilaporkan berkata, mengatasi kesesakan lalu lintas, membina rumah mampu milik dan pembangunan mapan adalah antara senarai impian kerajaan Melaka sempena Belanjawan 2019.

“Keutamaan Melaka adalah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, selain (memperkasa) projek sedia ada. Kita juga mahu projek ‘inner ring road’ dan ‘outer ring road’ yang dirancang di negeri ini dilihat kembali bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Berita Harian X