Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:40pm
AHMAD Hasbullah bersalaman dengan pegawai kanan Pemerintahan Medan Timur TDM ketika lawatan ke Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, hari ini. - NSTP/Mohd Roji Kawi
AHMAD Hasbullah bersalaman dengan pegawai kanan Pemerintahan Medan Timur TDM ketika lawatan ke Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, hari ini. - NSTP/Mohd Roji Kawi

'Berhenti jika tidak tahan disiplin tentera'

KOTA SAMARAHAN: Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang gagal mematuhi peraturan tentera perlu menamatkan perkhidmatan sebelum mereka diberhentikan.

Itu amaran keras Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi kepada pegawai dan anggota yang tidak lagi menunjukkan minat terhadap perkhidmatan.

Ahmad Hasbullah berkata, beliau tidak berkompromi dalam soal disiplin dan tidak akan membiarkan pegawai dan anggota yang bermasalah itu merosakkan pasukan.

“Selagi anda boleh mengikuti peraturan yang ditetapkan, anda layak untuk terus berada dalam tentera, tetapi jika anda tidak mampu, saya tidak ragu-ragu untuk memberhentikan anda dari perkhidmatan.

“Orang seperti ini bukanlah aset kepada perkhidmatan, sebaliknya mereka adalah liabiliti yang boleh menjejaskan keupayaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena lawatan ke Markas Pemerintahan Medan Timur TDM di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw; Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang dan Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin.

Ahmad Hasbullah berkata, beliau rela jumlah anggota TDM kecil asalkan mereka adalah yang yang terbaik dan berkualiti.

“Tidak gunanya memiliki anggota yang ramai jika sebahagian besarnya adalah ejen perosak dan janganlah kerana sikap mereka ini, semua pasukan akan menerima kesannya.

“Kita tidak memerlukan orang yang tidak jujur dalam TDM, tetapi kita mahukan warga yang profesional dalam melaksanakan tanggungjawab agar kita sentiasa disegani,” katanya.

Lawatan itu adalah yang pertama dilakukan Ahmad Hasbullah selepas beliau dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat, kira-kira sebulan lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan tertinggi TDM itu, beliau adalah Timbalan Panglima Tentera Darat selama tujuh tahun dan sebelum itu beliau pernah menjadi Panglima Medan TDM.

Berita Harian X