Jumaat, 21 September 2018 | 2:45pm
DATUK Abang Abdul Wahap Abang Julai, menunjukan risalah tidak dibenar merokok dalam premis makanan dalam seliaan DBKU, selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Pengusaha Premis Perniagaan/Makanan dan Penjaja di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara di Dewan Asajaya, Tingkat 1, Hotel Grand Margherita, Kuching. - Foto Nadim Bokhari
DATUK Abang Abdul Wahap Abang Julai, menunjukan risalah tidak dibenar merokok dalam premis makanan dalam seliaan DBKU, selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Pengusaha Premis Perniagaan/Makanan dan Penjaja di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara di Dewan Asajaya, Tingkat 1, Hotel Grand Margherita, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Kompaun serta-merta perokok tegar

KUCHING: Kompaun serta-merta, antara hukuman sedang dipertimbangkan terhadap perokok yang disabitkan kesalahan merokok di zon bebas asap rokok dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Sumber memberitahu NSTP, ketika ini, DBKU dalam proses memperhalusi hukuman itu, termasuk tindakan penguatkuasaan mengisytiharkan semua premis makanan di kawasan selianya sebagai zon bebas asap rokok.

“Undang-undang larangan merokok belum diwartakan kerana sebelum ini hanya Jabatan Kesihatan boleh mengkompaun kesalahan merokok di kawasan larangan.

“Cadangan kompaun serta-merta ke atas perokok dilihat signifikan kerana kekangan pegawai dan anggota penguatkuasaan untuk berada di semua premis makanan,” katanya.

Dalam kawasan seliaan DBKU, 347 premis makanan dilesenkan dengan 103 adalah berstatus gred A, manakala 244 berstatus gred B.

Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan zon larangan merokok diperluaskan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017 berkuat kuasa Disember ini, dengan kesalahan merokok di tempat awam boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, berkata kewujudan zon bebas asap rokok akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan.

“Kita dalam proses mewartakan undang-undang larangan merokok di kawasan tertentu terutamanya di premis makanan, termasuk juga di restoran terbuka.

“Hukuman belum ditentukan termasuk kaedah kompaun dan jumlah kompaun,” katanya selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Pengusaha Premis Makanan dan Penjaja, di sini, semalam.

Abang Wahap berkata, sebelum ini, hanya Jabatan Kesihatan yang ada kuasa mengenakan tindakan ke atas individu yang merokok di kawasan larangan dengan nilai kompaun dikenakan adalah RM200.

“Ya, kita berdepan masalah jumlah anggota penguat kuasa. Bagaimanapun, ia tidak menghalang kita untuk bertindak ke atas perokok yang mungkin berdegil merokok di zon bebas asap rokok,” katanya.

Katanya, DBKU menghormati hak perokok untuk meneruskan tabiat mereka, namun ia perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang.

“Perokok mempunyai hak tetapi bukan mereka sahaja ada hak kerana orang awam di sekeliling mereka juga mempunyai hak. Bukan kita menidakkan hak mereka, namun mereka boleh merokok di kawasan yang tidak dimasukkan dalam zon bebas asap rokok,” katanya.

Berita Harian X