Isnin, 17 September 2018 | 1:25pm
KETUA Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob (kiri) bertanya sesuatu kepada yang pengunjung yang melawat pameran koleksi Tragedi 1941 : Kronologi Pendudukan Jepun di Tanah Melayu di Muzium Negeri Kelantan.
KETUA Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob (kiri) bertanya sesuatu kepada yang pengunjung yang melawat pameran koleksi Tragedi 1941 : Kronologi Pendudukan Jepun di Tanah Melayu di Muzium Negeri Kelantan.

Tragedi 1941 di Muzium Negeri

KOTA BHARU: Kronologi pendudukan Jepun di Tanah Melayu khususnya Kelantan boleh dihayati penduduk negeri ini melalui pameran Tragedi 1941 di Muzium Negeri di sini.

Bukan saja pelbagai artifak dan barangan koleksi peninggalan tentera Jepun dipamerkan, pengunjung turut ‘disambut’ oleh Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, seorang pemimpin tentera Jepun pada Perang Dunia II.

Selain itu, terdapat juga diorama di hari pertama pendaratan tentera Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, di sini pada 7 Disember 1941.

Ketua Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob, berkata Pameran Tragedi 1941 itu sudah bermula sejak 20 Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan.

“Pameran ini diadakan sehingga 20 September ini dan sekiranya sambutan menggalakkan terus diterima ia akan disambung sehingga hujung tahun ini.

“Lebih 30 koleksi berkaitan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dipamerkan selain diorama berkisarkan hari pertama tentera Jepun mendarat bagi memberi penghayatan kepada era berkenaan,” katanya.

KETUA Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob melihat artikal Tragedi 1941 : Kronologi Pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang dipamerkan bermula 20 Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan di Muzium Negeri Kelantan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob melihat artikal Tragedi 1941 : Kronologi Pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang dipamerkan bermula 20 Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan di Muzium Negeri Kelantan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Antara barangan koleksi yang dipamerkan adalah ‘Machine gun’ Jepun type 89 (2 laras), topeng gas British, topeng besi, kepala bom Jepun seberat 250 paun dan 500 paun, replika pedang tentera Jepun, kotak peluru mortar, benet British paten 1907, kotak peluru mortar dan kelongsong peluru.

Abustarim berkata koleksi yang dipamerkan itu adalah dari koleksi PMNK sendiri dan sebahagian besarnya dipinjamkan menerusi seorang pengumpul barangan lama.

Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM2 untuk dewasa manakala RM1 untuk kanak-kanak. Pameran Tragedi 1941 mencatat bilangan pengunjung yang ramai pada musim cuti sekolah dan cuti umum termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Semua maklumat penting yang tercatat dalam sejarah era pendudukan Jepun serta kronologi penaklukan selama 12 hari di Tanah Melayu malah sebuah filem mengenainya turut ditayang di bilik tayangan.

Seorang pengunjung dari Shah Alam, Selangor, Fauzul Azam Aziz, 45, berkata banyak maklumat mengenai Tragedi 1941 diketahui menerusi pameran berkenaan.

Dia yang datang ke Kota Bharu menemani isteri yang menghadiri kursus sempat meluangkan masa menghayati peristiwa yang berlaku pada zaman pendudukan Jepun dan melihat sendiri koleksi barangan peninggalan tentera Jepun.

“Tidak semua sejarah negara kita ketahui secara umum dan ada kala hanya mengetahui melalui pembacaan tanpa dapat menghayati,” katanya.

Berita Harian X