Jumaat, 7 September 2018 | 9:27pm
DR Xavier Jayakumar pada Bicara Minda 'Kita Di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air?' di Dewan Karangkraf, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
DR Xavier Jayakumar pada Bicara Minda 'Kita Di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air?' di Dewan Karangkraf, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Perbincangan beli air Perak, Pulau Pinang dimulakan

SHAH ALAM: Perbincangan untuk kerajaan Perak menjual airnya kepada Pulau Pinang sudah dimulakan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata, beliau juga terbabit dalam perbincangan itu dan ia dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Kita sudah memulakan perbincangan antara Pulau Pinang dan Perak, saya fikir kita akan mencapai penyelesaian yang sangat baik. Sudah ada persetujuan bahawa apa pun air (dari Perak) akan dijual kepada Pulau Pinang, cuma sama ada ia air terawat atau air mentah,” katanya.

Xavier berkata demikian selepas program Bicara Minda bertajuk ‘Kita Di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air?’ di Dewan Karangkraf di Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, bagaimanapun berkata, belum ada lagi perbincangan mengenai Perak menjual airnya kepada Selangor.

“Kita belum membuat keputusan lagi mengenai Selangor, yang memerlukan air mentah ketika ini kerana kita memperolehnya dari kawasan lain. Sepanjang 10 tahun ini, kita sudah melakukan banyak kerja di Selangor untuk memastikan kita mempunyai air mentah yang mencukupi di negeri ini.

“Kita mempunyai lembangan sungai, bina dua lagi loji rawatan air dengan usaha sendiri dan meningkatkan had simpanan selain menyegerakan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk disiapkan menjelang 2022.

“Kita akan memperoleh sejumlah 350 juta liter sehari menjelang akhir tahun untuk disalurkan ke aliran utama bekalan air Selangor, sekali gus tidak lagi mengalami masalah dengan bekalan air Selangor,” katanya.

Xavier berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azamu, bahawa kerajaan Perak memohon Xavier menjadi orang tengah dalam memulakan proses rundingan pembelian air terawat dari negeri itu kepada Selangor dan Pulau Pinang.

Ahmad Faizal dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan sudah beberapa kali berhubung dengan kementerian terbabit dan merasakan Xavier harus memulakan rundingan berkenaan kerana Perak kekal dengan pendirian untuk cuba berunding dengan dua negeri itu, supaya boleh membekalkan air terawat.

Berita Harian X