Jumaat, 7 September 2018 | 6:20pm
 GURU Besar SK Felda Medoi, Samsul Kamar Abd Wahab, (kiri) bersama Seorang Veteran Anggota Polis (kanan) menandatangi Lawatan di halaman Pondok Polis Buloh Kasap sempena Kembara Merdeka. - Foto Ahmad Ismail
GURU Besar SK Felda Medoi, Samsul Kamar Abd Wahab, (kiri) bersama Seorang Veteran Anggota Polis (kanan) menandatangi Lawatan di halaman Pondok Polis Buloh Kasap sempena Kembara Merdeka. - Foto Ahmad Ismail

Pelajar lawat pondok polis selami semangat kemerdekaan

SEGAMAT: Seramai 250 pelajar termasuk Guru Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Medoi, di sini, melawat pondok polis bersejarah dan masjid lama bagi menyerap semangat kemerdekaan.

Guru Besar SK FELDA Medoi, Shamsul Kamar Abd Wahab, berkata pihaknya membawa pelajar ke pondok polis di Buloh Kasap yang pernah dihuni anggota polis pada era 1940-an, bagi melihatnya secara fizikal.

Katanya, ini bagi membayangkan pengorbanan anggota dan keluarganya yang hidup serba sederhana di kuarters, di sebalik perjuangan mereka mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

“Melihatkan keluasan bangunan kuarters amat terhad, tentu sekali anak mereka tiada kebebasan untuk beriadah dan ini memerlukan ketabahan mental yang kuat.

“Ada pelajar turut menitiskan air mata apabila dimaklumkan anak polis ketika itu menggunakan api lilin dan minyak tanah bagi mengulang kaji pelajaran, selain tidak dapat keluar beriadah di luar kediaman selepas jam enam petang kerana perintah berkurung.

250 pelajar serta guru SK Felda Medoi melakukan lawatan ke Bangunan bekas Pondok Polis Buloh Kasap (belakang) antara, pengisian Kembara Merdeka. - Foto Ahmad Ismail
250 pelajar serta guru SK Felda Medoi melakukan lawatan ke Bangunan bekas Pondok Polis Buloh Kasap (belakang) antara, pengisian Kembara Merdeka. - Foto Ahmad Ismail

“Pelajar tidak dapat membayangkan kehidupan zaman dahulu yang serba terbatas berbanding kebebasan kehidupan mereka kini amat selesa dengan nikmat kehidupan disebabkan pengorbanan pihak keselamatan dahulu,” katanya.

Shamsul berkata, menerusi lawatan itu, pelajar menghargai jasa anggota polis yang turut menggadai nyawa mengiringi guru dan pelajar ke sekolah demi keselamatan mereka daripada ancaman komunis pada era 1950-an.

Katanya, lawatan ke masjid lama turut memainkan peranan kerohanian menyemarakkan semangat patriotik melalui keagamaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata beberapa pondok polis lama di daerah ini dikawal selia bagi memastikannya dalam keadaan baik kerana kesan sejarahnya, selain untuk kegunaan pelbagai aktiviti persatuan bekas polis.

Berita Harian X