Rabu, 5 September 2018 | 8:11pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

18 tahun baru boleh kahwin

SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan had usia minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Had usia perkahwinan itu diluluskan selepas semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebulat suara menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018 serta Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018.

Terdahulu, usul itu diluluskan oleh Speaker DUN, Ng Suee Lim selepas Menteri Besar, Amirudin Shari, mengemukakan usul pindaan enakmen itu untuk dibahaskan semua ADUN.

“Cadangan menaikkan had umur perkahwinan ini susulan isu pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berumur 11 tahun dengan pasangannya warganegara Malaysia berumur 41.

“Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengkaji semula had umur perkahwinan bagi orang Islam di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan dengan cadangan MAIS dan JAIS untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Baginda ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Selangor ke-14 Isnin lalu, menyuarakan kebimbangan berhubung kes pernikahan pasangan Islam pada usia yang terlalu muda.

Sultan Selangor turut memandang serius dengan kes yang membabitkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan.

Berita Harian X