Rabu, 5 September 2018 | 5:50pm
SOW Kok Ann menunjukkan sampah longgok haram yang dibuang merata di lot meletak kenderaan di Jalan Sena 1, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
SOW Kok Ann menunjukkan sampah longgok haram yang dibuang merata di lot meletak kenderaan di Jalan Sena 1, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Buang, bakar sampah di tempat parkir kenderaan

PASIR GUDANG: Sikap segelintir individu yang membuang sampah di tapak meletak kenderaan di Jalan Sena 1, Taman Rinting, dekat sini, dikesan menjadi punca pencemaran dan pembakaran terbuka.

Bukan setakat itu, mereka dengan sewenang-wenangnya mencampakkan sampah di merata tempat tanpa memikirkan aspek kebersihan, mahupun keselamatan lebih 20 premis perniagaan di kawasan sekitar.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Sow Kok Ann, berkata masalah sampah longgok haram di kawasan berkeluasan 1.86 meter persegi sejak 10 tahun lalu itu dikhuatiri memberi kesan kepada lebih 15,000 penduduk di sini.

Katanya, sampah seperti bahan binaan, perabot, tilam dan sisa makanan dilihat sengaja dibuang di tapak berkenaan.

“Kebakaran pernah berlaku di sini pada 9 Ogos lalu dan apabila saya merujuk kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya memaklumkan bahawa kawasan ini memang kerap berlaku kebakaran akibat persekitaran yang terjejas.

“Selepas berbincang dengan pihak pemaju, dua minggu lalu, kami bersetuju untuk membina tembok penghadang sementara bagi menyekat pihak tidak bertanggungjawab terus membuang sampah di sini.

“Bagaimanapun, penyelesaian ini hanya sementara. Kami perlukan kerjasama orang ramai untuk menjaga kawasan ini sebelum tindakan pembersihan dijalankan sepenuhnya kelak,” katanya pada sidang media ketika melawat tapak berkenaan, di sini, hari ini.

Kok Ann berkata, kompaun akan dikeluarkan terhadap individu atas kesalahan membuang sampah di tempat awam, selain mengheret mereka ke mahkamah atas kesalahan berulang.

Katanya, pihaknya meminta kerjasama orang awam untuk turut memantau dan membuat aduan kepada MPPG sekiranya ternampak perilaku individu mencurigakan di sekitar kawasan itu.

Berita Harian X