Isnin, 27 Ogos 2018 | 6:07pm

Kes HFMD di NS menurun

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merekodkan penurunan kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini, sepanjang minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan, berkata sebanyak 96 kes baharu dilaporkan minggu lalu, menurun 37.3 peratus berbanding 153 kes pada minggu sebelumnya.

Setakat hari ini, katanya, tiada kes baru HFMD direkodkan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 51 premis membabitkan 24 TASKA, TADIKA/prasekolah (23), tiga pusat jagaan harian dan sebuah sekolah swasta ditutup berikutan HFMD sebelum ini.

“Bagaimanapun, semua premis terbabit sudah dibuka semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Veerapan berkata, pihaknya mengadakan 11 sesi pertemuan dan penerangan kepada pengusaha dan guru TASKA, TADIKA, prasekolah kerajaan dan swasta di negeri ini, membabitkan 847 premis.

“Kita juga melawat 12 premis bagi menerangkan lima perkara utama pencegahan HFMD.

“Berdasarkan analisis Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 75 hingga 82 peratus kes HFMD yang dilaporkan membabitkan kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun,” katanya.

Berita Harian X