Ahad, 26 Ogos 2018 | 5:02pm
DR Xavier Jayakumar (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian ahli anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat India Tambun di Hotel Impiana, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari
DR Xavier Jayakumar (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian ahli anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat India Tambun di Hotel Impiana, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Jual air Perak-Pulau Pinang muktamad akhir 2018

IPOH: Projek penjualan air antara Perak dan Pulau Pinang akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu pada 20 September depan bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk isu membabitkan penjualan air.

“Sekarang kita memikirkan, sudah pun sampai satu tahap yang mana ada kesepakatan antara Perak dan Pulau Pinang berkaitan penjualan air mentah dan terawat.

“Saya akan membantu mereka (kerajaan Perak dan Pulau Pinang) bagi mendapatkan sokongan untuk menyelesaikan isu ini.

“Kita akan membuat pengumuman berkaitan tidak lama lagi, dan memuktamadkan (projek penjualan air) sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama masyarakat India Tambun di sini hari ini.

Dr Xavier berkata, projek penjualan itu mampu mencetuskan keadaan menang-menang antara kedua-dua negeri.

“Perak boleh menjual air dan daripada penjualan air itu negeri memperoleh pendapatan yang lebih tinggi manakala Pulau Pinang boleh menjual air itu pula kepada penduduknya dengan mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, perlu ada persefahaman antara satu sama lain yang mana setiap negeri boleh berkongsi sumber yang ada untuk kepentingan rakyat.

“Kita sudah mempunyai contoh seperti Pahang dan Selangor sebelum ini, yang kita akan laksanakan untuk Perak dengan Pulau Pinang, begitu juga antara Johor dan Pahang termasuk Kedah yang perlu diberi perhatian membabitkan perkembangan industri air.

“Jadi, kita akan bekerjasama dengan negeri-negeri ini untuk memajukan industri air masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Dr Xavier dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan sanggup menyediakan peruntukan bagi membina terowong air dalam usaha membolehkan Perak menjual air kepada Pulau Pinang.

Beliau dilaporkan berkata, pelan bagi rancangan penjualan air itu sudah tersedia dan satu mesyuarat antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang akan diadakan bagi membincangkannya.

Beliau juga dipetik berkata, jika hasrat itu terlaksana, satu terowong bagi laluan air akan dibina dari Perak ke Pulau Pinang, namun ia memerlukan sedikit masa dan Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan untuk projek itu.

Berita Harian X