Khamis, 23 Ogos 2018 | 5:44pm

Mural tarikan baharu sempena Hari Kebangsaan

GEORGETOWN: Bermula hari ini, jika anda memandu di sepanjang Jalan Tanjung Tokong-Tanjung Bungah menghala ke pusat bandar, pastikan anda melihat ke sebelah kanan anda berdekatan terowong jambatan yang dilukis dengan mural Jalur Gemilang terpanjang di negara ini.

Di situ, anda akan melihat lukisan mural terbaru yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dikelilingi pelbagai ikon negara dan negeri.

Lukisan itu hasil karya kartunis kelahiran Pulau Pinang, Mohd Azmi Mohd Hussin, 34, bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Mural terbaru yang dihasilkan pemegang Buku Rekod Malaysia bagi karikatur paling banyak dilukis dalam tempoh 24 jam itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari.

Azmi berkata, Kelab Sukan Belia Muslim (KSBM) sebelum itu berjumpa dengannya bagi menghasilkan mural di sepanjang dinding berkeluasan 12 meter persegi itu.

Katanya, beliau mula melukis pada Ahad lalu sebelum ia siap pada Selasa lalu.

Difahamkan, pihak KSBM juga akan mengecat semula mural Jalur Gemilang pada Ahad ini sebelum merasmikan lukisan mural itu.

“Saya begitu bersyukur apabila diberikan peluang untuk menghasilkan mural sempena bulan kebangsaan pada tahun ini.

“Selain itu, saya juga berbangga kerana dapat melukis gambar dua individu terpenting di negara termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.

Azmi sebelum ini juga sudah menghasilkan beberapa lukisan mural di beberapa dinding bangunan di negeri ini sejak beberapa tahun lalu, termasuk lukisan ‘Made In Penang’ di Muzium Interaktif, ‘Cofee with Tun M’ di jalan Transfer selain mural di Roti Bakar Hutton Lane.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia berbangga dengan pemimpin kita yang berjuang untuk ‘Malaysia Baru’,” katanya yang mahu menyampaikan mesej itu di setiap lukisan yang dihasilkannya.

Berbekalkan inspirasi karya dihasilkan kartunis Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat, Azmi yang berbangga menjadi sebahagian warisan India Muslim sudah menerbitkan dua komik yang menceritakan kehidupannya dalam komuniti itu.

Komik Little Mamak yang diterbitkan di Malaysia itu menggambarkan kehidupan komuniti India Muslim atau digelar ‘Mamak’.

Katanya, komik itu mengandungi sejarah komuniti India Muslim, kehidupan mereka dan pandangan orang ramai mengenainya.

Selepas berjaya mencatat nama di dalam Buku Rekod Malaysia, Azmi kini berusaha memasuki Buku Rekod Dunia Guinness bagi lukisan kartun terpanjang yang kini dipegang kartunis Pakistan, Unaiza Ali Barlas, dengan karya sepanjang 267.38 meter pada 12 Mac tahun lalu.

MURAL di terowong dekat Jalan Tanjung Tokong-Tanjung Bungah menghala ke pusat bandar. - Foto Danial Saad
MURAL di terowong dekat Jalan Tanjung Tokong-Tanjung Bungah menghala ke pusat bandar. - Foto Danial Saad
MURAL yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dikelilingi pelbagai ikon negara dan negeri. - Foto Danial Saad
MURAL yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dikelilingi pelbagai ikon negara dan negeri. - Foto Danial Saad
LUKISAN ini adalah hasil karya kartunis kelahiran Pulau Pinang, Mohd Azmi Mohd Hussin, bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. - Foto Danial Saad
LUKISAN ini adalah hasil karya kartunis kelahiran Pulau Pinang, Mohd Azmi Mohd Hussin, bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. - Foto Danial Saad
Berita Harian X