Jumaat, 17 Ogos 2018 | 11:18am
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - Foto Adzlan Sidek
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - Foto Adzlan Sidek

HFMD: 7 taska, prasekolah di NS masih ditutup

SEREMBAN: Sebanyak tujuh taska dan prasekolah di negeri ini masih ditutup berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata taska yang masih ditutup di daerah ini adalah Taska Kolej MARA, Taska Little Bugs Education Mantin dan Taska Permata Perpaduan Taman Temiang Jaya.

“Selain itu, Taska Permata Negara di Kampung Mengkan, Jelebu dan Taska Permata Kemas di Kampung Bukit Perah, Jempol turut ditutup.

“Dua prasekolah yang masih ditutup adalah Tabika Permata Perpaduan di Seremban dan Pusat Asuhan Tunas Islam Ar-Raudhah di Bahau, Jempol,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan memperhebatkan aktiviti pendidikan kesihatan melalui sesi ‘town hall’ dengan memberi fokus kepada guru prasekolah Jabatan Pendidikan negeri, pengusaha serta guru taska dan tadika swasta.

Beliau berkata, sejak Januari sehingga semalam, jumlah kes HFMD yang dilaporkan adalah sebanyak 2,192 kes berbanding hanya 611 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 258 peratus.

Katanya, pada minggu ke-33 sebanyak 19 kes baharu dilaporkan iaitu lapan kes di Port Dickson, Kuala Pilah (empat), Jempol (tiga), masing-masing dua kes di Tampin dan Rembau.

Bagi taburan kes HFMD mengikut daerah sepanjang tahun ini pula katanya, Seremban mencatatkan 1,512 kes, Port Dickson (169), Jempol (161), Kuala Pilah (119), Rembau (100), Jelebu (71) dan Tampin (60).

Berita Harian X