Rabu, 8 Ogos 2018 | 2:36pm
FOTO hiasan. - Foto Rasul Azli Samad
FOTO hiasan. - Foto Rasul Azli Samad

Kes HFMD di Melaka meningkat 102 peratus

MELAKA: Sebanyak 1,773 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) dikesan di negeri ini sehingga Sabtu lalu.

EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong, berkata jumlah itu meningkat sebanyak 897 kes atau 102 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sehingga minggu ke-31 iaitu bermula dari 29 Julai hingga 4 Ogos lalu, daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 790 kes diikuti Alor Gajah (677) dan Jasin (306).

“Sehingga hari ini pula, sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) diarahkan tutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun 10 TASKA dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) yang diarah tutup sebelum ini sudah dibenarkan beroperasi semula selepas kerja pembersihan dilakukan.

“Arahan penutupan premis dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan HFMD,” katanya.

Bagi minggu ke-31 tahun ini, daerah Alor Gajah mencatat jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 125 kes diikuti Melaka Tengah (88) dan Jasin (38).

Berita Harian X