Isnin, 6 Ogos 2018 | 2:46pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan (tengah) melawat tapak cadangan Hospital Nilai dan Klinik Kesihatan Nilai, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan (tengah) melawat tapak cadangan Hospital Nilai dan Klinik Kesihatan Nilai, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

234 kes baharu HFMD di Negeri Sembilan

NILAI: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan, meningkat dengan 234 kes baharu direkodkan, sejak enam hari lalu.

Bagi tempoh Januari lalu sehingga hari ini, statistik menunjukkan peningkatan 214 peratus iaitu 1,868 kes berbanding 594 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata sehingga kini, empat TASKA dan prasekolah masih ditutup akibat HFMD.

Katanya, penyebaran kes HFMD mengikut daerah sehingga kini ialah Seremban (1,299 kes), Jempol (140), Port Dickson (122), Kuala Pilah (101), Rembau (95), Jelebu (58) dan Tampin, 53 kes.

Beliau berkata, mereka yang menguruskan pusat pembelajaran awal kanak-kanak, TASKA dan TADIKA perlu mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit itu.

"Selain memastikan tabiat asas kebersihan sentiasa dikekalkan, mereka perlu melakukan pemeriksaan di pintu masuk premis untuk memastikan tiada kanak-kanak dijangkiti HFMD.

"Ibu bapa dan penjaga juga perlu memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dibawa ke tempat awam, termasuk sekolah, TASKA dan TADIKA," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak cadangan Hospital Nilai dan Klinik Kesihatan Nilai di sini, hari ini.

Hospital Nilai yang dicadang dibina di tanah seluas 24 hektar di Bandar Enstek bertujuan menampung keperluan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) yang merekodkan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun, dengan kadar penggunaan katil mencapai 80 peratus.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, sudah tiba masa Negeri Sembilan mempunyai hospital negeri kedua mengikut pertambahan populasi dan keperluan.

"Hospital Nilai juga bakal memainkan peranan sebagai hospital latihan bagi menyediakan pendidikan dan latihan kepada bakal doktor, jururawat dan lain-lain profesyen kesihatan," katanya.

Bagi pembinaan Klinik Kesihatan Nilai pula, projek yang dimulakan pada 2016 itu dijangka selesai pada November, tahun ini.

"Klinik Kesihatan Nilai kini 66 peratus siap dan ia bakal menjadi klinik pertama dibina secara bertingkat di Negeri Sembilan. Klinik ini juga akan memberikan perkhidmatan rawatan lanjutan apabila dibuka nanti sehingga jam 10 malam," katanya.

Berita Harian X