Jumaat, 3 Ogos 2018 | 5:34pm
SEBUAH Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seremban 2A, Negeri Sembilan yang menjadi premis kelima yang ditutup di Negeri Sembilan berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). - Foto Iqmal haqim rosman
SEBUAH Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seremban 2A, Negeri Sembilan yang menjadi premis kelima yang ditutup di Negeri Sembilan berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). - Foto Iqmal haqim rosman

5 premis ditutup di Seremban akibat HFMD

SEREMBAN: Sebuah lagi prasekolah di daerah ini ditutup menjadi premis kelima yang diarahkan berbuat demikian di Negeri Sembilan, berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seremban 2A di sini, ditutup semalam, apabila beberapa murid dijangkiti HFMD.

Beliau berkata, sehingga kini, tiga tadika, prasekolah (satu) dan sekolah (satu) yang semuanya terletak di daerah ini, masih ditutup di seluruh negeri.

"Bagi tempoh awal tahun sehingga hari ini, statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 214 peratus kes HFMD iaitu 1,853 kes berbanding 591 kes pada tempoh sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata taburan kes HFMD mengikut daerah sehingga hari ini ialah 1,300 kes di Seremban, Jempol (136), Port Dickson (122), Kuala Pilah (97), Rembau (95), Jelebu (55) dan Tampin (48).

Katanya, bagi minggu ini sahaja, sebanyak 255 kes baharu dicatatkan iaitu 185 kes di Seremban, Port Dickson (29), Kuala Pilah (17), Rembau (10), Jempol (tujuh) Jelebu (tujuh).

Veerapan menasihatkan semua pihak yang mengendalikan pusat pembelajaran awal kanak-kanak, termasuk taska dan tadika supaya mengambil serius langkah pencegahan HFMD terutama membuat saringan di pintu masuk.

"Selain memastikan amalan asas kebersihan dikekalkan, mereka juga perlu melakukan pemeriksaan di pintu masuk premis bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD dihantar ke situ oleh ibu bapa," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga untuk memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dibawa ke tempat awam, termasuk sekolah, taska dan tadika, bagi mencegah kanak-kanak lain daripada dijangkiti.

Berita Harian X