Selasa, 31 Julai 2018 | 4:32pm
PRESIDEN KMJ, Mohamad Fauzi Ishak (empat dari kiri) bersama Pengarah Urusan PT Palindo Marine Shipyard, Harmanto Tan (tengah) bergambar dengan ahli KMJ di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia. - Foto ihsan KMJ

PRESIDEN KMJ, Mohamad Fauzi Ishak bersama Pengarah Urusan PT Palindo Marine Shipyard, Harmanto Tan melawat tempat pemuliharaan penyu di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia. - Foto ihsan KMJ
PRESIDEN KMJ, Mohamad Fauzi Ishak bersama Pengarah Urusan PT Palindo Marine Shipyard, Harmanto Tan melawat tempat pemuliharaan penyu di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia. - Foto ihsan KMJ
AKUARIUM terbuka yang menjadi tarikan baharu bagi pengunjung di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia. - Foto ihsan KMJ
AKUARIUM terbuka yang menjadi tarikan baharu bagi pengunjung di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia. - Foto ihsan KMJ

KMJ tertarik pusat pelancongan baharu di Batam

PULAU BATAM: Kelab Media Johor (KMJ) buat julung kali mengadakan lawatan ke pusat tarikan pelancongan baharu di Pulau Pengelap Kepri Coral, Indonesia.

Program dua hari, bermula semalam itu sebagai usaha memperkenalkan produk baharu pelancongan di negara berkenaan, di samping menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

Pengarah Urusan PT Palindo Marine Shipyard, Harmanto Tan, berkata pulau itu menjadi tarikan terbaharu di sini, dengan pembangunannya dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Katanya, di peringkat awal, pihaknya sudah melaburkan kira-kira AS$1.2 juta (RM4.87 juta) membabitkan pembinaan kolam renang, pantai, platform dan terminal di jeti.

"Sehingga kini, kerja pembinaan lokasi di keluasan 800 hektar sedang giat dijalankan dan projek ini dijangka dapat beroperasi mengikut jadual.

"Kita mempromosikan tempat ini secara berperingkat mulai tahun lalu, terutama kemudahan kolam renang, aktiviti 'snorkeling' bagi pelancong yang ingin menikmati pemandangan indah hidupan marin seperti kerang raksasa, penyu dan batu karang hidup.

"Pembukaan sepenuhnya pulau ini akan membawa kesan positif kepada kedua-dua negara, terutama penduduk Johor, di samping membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya ketika ditemui di sini.

Harmanto berkata, sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong asing, pihaknya memberi kursus menyelam kepada jurulatih, selain mengurus serta menjaga alam sekitar kepada kakitangan yang kebanyakannya dalam kalangan nelayan.

Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak, berkata program berkenaan disertai seramai 30 ahli KMJ dan mereka menjadi jambatan penghubung dalam aktiviti pelancongan di Malaysia secara amnya dan Johor khususnya.

Katanya, KMJ juga menjadi 'Friends of Tourism Johor' sejak tahun 2015 yang bergiat dalam mempromosikan industri pelancongan.

"Malah, ahli KMJ juga berfungsi sebagai duta kecil yang membawa nama negara kita termasuk membantu memperkenalkan produk pelancongan kerajaan negeri," katanya.

Berita Harian X