Selasa, 31 Julai 2018 | 1:54pm
WAN Mansor Hamzah. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
WAN Mansor Hamzah. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

HFMD di Pulau Pinang masih terkawal

GEORGETOWN: Penularan penyakit tangan kaki dan mulut (HMFD) di Pulau Pinang masih terkawal walaupun mencatatkan satu kes kematian berikutan wabak berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah, berkata ia berdasarkan perbandingan angka kematian dan jumlah kes jangkitan HMFD yang direkodkan di negeri itu.

"Penularan wabak ini masih terkawal walaupun kita merekodkan lebih 3,000 kes jangkitan HFMD di negeri ini, selain langkah pencegahan bagi membendung penyakit ini sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

"Kita juga berharap ibu, bapa dan penjaga kanak-kanak lebih prihatian dan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan diri serta anak masing-masing bagi mengelakkan pertambahan bilangan jangkitan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan punca kematian bayi lelaki berusia 17 bulan pada 6 Jun lalu, disebabkan penyakit HFMD, selepas tiga hari dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas, di sini.

Ia sekali gus menjadikan Pulau Pinang merekodkan kes pertama kematian membabitkan penyakit HFMD, berbanding keseluruhan 39,174 kes jangkitan sama di seluruh negara.

Dr Wan Mansor berkata, individu berusia 15 tahun ke atas juga mampu dijangkiti penyakit terbabit, menerusi air liur, cecair di hidung dan bersin daripada mana-mana pesakit HFMD.

"Bagaimanapun, gejala HFMD agak sukar dilihat bagi mana-mana individu berusia 15 tahun ke atas, selain sistem imunisasi golongan ini mampu membendung penyakit berkenaan daripada melarat.

"Justeru, orang ramai dinasihati untuk memberi keutamaan dalam penjagaan kesihatan diri dan kerap membasuh tangan serta tukar pakaian baharu sekiranya mahu mendekati kanak-kanak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Mansor berkata, kes demam denggi di Pulau Pinang berada pada tahap yang tinggi dengan 2,709 kes, membabitkan tiga angka kematian direkodkan, sejak 31 Disember 2017 hingga semalam.

"Sebanyak lima kes demam denggi direkodkan berlaku di negeri ini, semalam. Selain itu, trend kes demam denggi di negeri ini dilihat mencatatkan penurunan walaupun bilangan keseluruhan kes masih berada pada tahap yang tinggi.

"Kita juga khuatir faktor cuaca terkini akan merangsang pembiakan Aedes, sekiranya kebersihan persekitaran, sama ada di dalam atau di luar rumah masing-masing tidak dijaga dengan baik," katanya.

Berita Harian X