Selasa, 24 Julai 2018 | 8:18pm

4 TASKA, TABIKA diarah tutup kes HFMD

MELAKA: Empat TASKA dan TABIKA diarah tutup sejak tiga minggu lalu susulan peningkatan kes jangkitan penyakit tangan, kuku, kaki dan mulut (HMFD) di negeri ini.

Pusat pendidikan kanak-kanak yang ditutup itu membabitkan satu di daerah Melaka Tengah dan tiga di Alor Gajah.

EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong berkata, pusat pendidikan di daerah Melaka Tengah ditutup bermula 3 Julai lalu selepas terdapat dua kes HMFD dikesan.

"Di Alor Gajah pula, satu pusat ditutup pada 5 Julai kerana ada tiga kes manakala dua lagi pusat ditutup masing-masing pada 16 dan 17 Julai kerana mempunyai tiga dan empat kes," katanya ditemui di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.

Chee Leong berkata, semua TASKA dan TABIKA itu ditutup 10 hari dan ada di antaranya sudah kembali beroperasi.

"Setakat ini, tiada kematian direkodkan akibat jangkitan virus ini di Melaka, namun kita tetap berjaga-jaga kerana jumlah kes sejak 1 Januari hingga 21 Julai lalu menunjukkan peningkatan 54.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tempoh itu juga, 1,280 kes HFMD dilaporkan termasuk sembilan TASKA dan TABIKA diarah tutup.

"Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 583 kes diikuti Alor Gajah (454) dan Jasin (243)," katanya.

Dalam pada itu, Chee Leong turut memberi amaran kepada pusat perubatan supaya tidak menyembunyikan kes itu daripada Pejabat Kesihatan Daerah atas faktor memudahkan kawalan.

"Pusat perubatan atau klinik wajib melaporkan kes HFMD ini dan bagi mereka yang menyembunyikannya, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

EXCO Kesihatan Melaka, Low Chee Leong. - Foto Khairunisah Lokman
EXCO Kesihatan Melaka, Low Chee Leong. - Foto Khairunisah Lokman
Berita Harian X