Jumaat, 20 Julai 2018 | 4:03pm
KANAK-KANAK yang putus tangan kiri, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, ditemani ibu dan bapanya Rohidayu Siup@ Yusof, 29, (dua, kanan) dan Zulkifli Mohamad, 38, (kanan) bersama hadiah istimewa berupa patung permainan 'Unicorn' yang disampaikan oleh Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - Foto BERNAMA
KANAK-KANAK yang putus tangan kiri, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, ditemani ibu dan bapanya Rohidayu Siup@ Yusof, 29, (dua, kanan) dan Zulkifli Mohamad, 38, (kanan) bersama hadiah istimewa berupa patung permainan 'Unicorn' yang disampaikan oleh Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - Foto BERNAMA

Khumaira merindui rakan sekolah

KUALA TERENGGANU: Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang putus tangan kiri selepas baju sejuk dipakainya tersangkut pada rim motosikal, tidak sabar menanti kedatangan rakan kelasnya minggu hadapan.

Ibunya, Rohidayu Siup@ Yusof, 29, berkata Nur Zulaikha Khumaira yang mesra disapa sebagai Khumaira atau kakak bukan sahaja merindui rakan dan gurunya, malah tidak sabar untuk kembali ke sekolah.

Beliau berkata, lawatan yang akan dibuat oleh pihak Sekolah Kebangsaan Tasek, Marang, bersama guru dan sembilan rakan baik Khumaira itu adalah atas permintaan anaknya sendiri yang terlalu merindui mereka.

"Sepatutnya rakan kelas Khumaira datang semalam, tetapi disebabkan belum dapat kebenaran daripada pihak hospital jadi program lawatan itu ditunda minggu depan.

"Malah, Khumaira sendiri yang menyenaraikan nama sembilan orang rakan yang dirindui dan ingin ditemuinya minggu hadapan," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Khumaira ketika ditemui petah bercakap dan banyak menonton video kartun di YouTube menerusi telefon bimbit bagi menghilangkan kebosanan kerana tidak dapat ke sekolah.

Malah, Rohidayu berkata, Khumaira sangat seronok apabila dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam hospital berkenaan dan sedikit sebanyak menghilangkan kerinduannya untuk bersekolah.

"Alhamdulillah, walaupun ujian berat hilang tangan kiri akibat kejadian itu, Khumaira tetap anak yang senang dijaga dan sentiasa ceria biarpun beberapa kali terpaksa menjalani pembedahan.

"Dia memang seorang yang kuat makan dan Alhamdulillah selera makannya sudah kembali seperti biasa," katanya.

Sementara itu, bapanya, Zulkifli Mohamad, 38, berkata Khumaira baru sahaja menjalani pembedahan menampal kulit peha di bahagian tangannya yang putus itu.

"Pembedahan itu adalah yang ketiga dan mengambil masa satu jam setengah. Semua berjalan lancar, malah doktor memaklumkan luka di tangan Khumaira yang putus itu dalam keadaaan baik dan in sha Allah balutan tangannya boleh dibuka Ahad ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam pada Khamis minggu lalu, Khumaira bersama adik bongsunya, Aqil Zafran, 2, membonceng motosikal Honda Wave ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Rozali,18, untuk ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan borang biasiswa.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, baju sejuk bersaiz besar milik ibunya yang dipakai kanak-kanak itu tersangkut pada rim motosikal berkenaan menyebabkan tangan kirinya putus di lokasi kejadian.

Kejadian di Kampung Binjai Bongkok, di sini, itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak itu.

Berita Harian X