Isnin, 16 Julai 2018 | 1:16pm
PENGERUSI Amanah Kawasan Pasir Gudang merangkap Pengerusi Pusat Aduan Negeri, Syed Othman Syed Abdullah (kiri) bersama persatuan penduduk meninjau kawasan tebing runtuh di Jalan Harmoni 2/1, Taman Desa Harmoni, Johor Bahru. - Foto Mohd Sabran Md Sani
PENGERUSI Amanah Kawasan Pasir Gudang merangkap Pengerusi Pusat Aduan Negeri, Syed Othman Syed Abdullah (kiri) bersama persatuan penduduk meninjau kawasan tebing runtuh di Jalan Harmoni 2/1, Taman Desa Harmoni, Johor Bahru. - Foto Mohd Sabran Md Sani

40 penduduk terjejas tebing runtuh dan jalan mendap

JOHOR BAHRU: Kira-kira 40 penduduk di Jalan Harmoni 2/1, Taman Desa Harmoni, di sini, bimbang kerana terpaksa berdepan isu hakisan tanah dan tebing runtuh yang tidak berkesudahan, sejak setahun lalu.

Difahamkan, masalah itu berpunca daripada sistem kumbahan yang bocor sejak empat tahun lalu hingga menyebabkan air bertakung dan tebing mula terhakis.

Lebih memburukkan keadaan, aduan persatuan penduduk kepada pihak berkaitan tidak menampakkan kesan menyebabkan tanah di kawasan tebing itu menghakis, terutama pada musim hujan.

Kesan hakisan itu boleh dilihat apabila struktur jalan tar di belakang rumah penduduk sudah mendap, selain terdapat batuan di tebing perumahan itu juga mulai runtuh.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Harmobi Zon 2, Wong Boon Huei, berkata kejadian tanah mendap di taman itu mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.

"Penduduk memaklumkan terdapat kesan tebing runtuh hingga menjangkau tiga meter di belakang rumah dan keadaannya bertambah buruk setiap kali hujan.

"Dalam tempoh itu juga, kesan mendapan pada jalan tar di belakang rumah penduduk dapat dilihat menjangkau 25 meter," katanya ditemui dalam tinjauan NSTP, hari ini.

Beliau berkata, aduan berhubung isu itu sudah diajukan kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan dilakukan sehingga kini.

"Pernah satu cadangan dikemukakan bagi memperbaiki kerosakan jalan dan tebing, namun selepas setahun berlalu kontraktor berkenaan gagal mengemukakan nilai kos pembaikannya," katanya.

Boon Huei berkata, selain 40 penduduk taman ini, lima rumah penduduk di Taman Saujana juga berdepan risiko limpahan air hujan hingga ada kalanya mengundang banjir.

"Setiap kali hujan, air akan mencurah seperti air terjun menyebabkan kami dibayangi kebimbangan akan kesan tebing runtuh di belakang kediaman mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kawasan Pasir Gudang merangkap Pengerusi Pusat Aduan Negeri, Syed Othman Syed Abdullah, berkata pihaknya akan merujuk isu dibangkitkan penduduk itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan penyelesaian.

"Ini termasuk pembaikan jalan tar yang mendap kira-kira 25 meter dari belakang kediaman penduduk, selain membaiki struktur tebing runtuh yang semakin terhakis.

"Kami juga menghantar beberapa surat kepada pihak berkepentingan, selain Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada MBJB kerana membantu menyedut air limpahan kumbahan pada Ramadan lalu selepas ia mengalami kebocoran sejak empat tahun lalu.

Berita Harian X