X
Rabu, 11 Julai 2018 | 2:08pm
SEJAK awal tahun ini, murid Sekolah Rendah Agama Hj Awaludin, Teluk Kemang, belajar dalam suasana tidak selesa akibat kepanasan. - Foto Mohd Khidir Zakaria
SEJAK awal tahun ini, murid Sekolah Rendah Agama Hj Awaludin, Teluk Kemang, belajar dalam suasana tidak selesa akibat kepanasan. - Foto Mohd Khidir Zakaria
MURID sedang belajar di Sekolah Rendah Agama Hj Awaludin, Teluk Kemang. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Belajar dalam 'sauna'

PORT DICKSON: Sejak awal tahun ini, murid Sekolah Rendah Agama Hj Awaludin, Teluk Kemang di sini, belajar dalam suasana tidak selesa akibat kepanasan.

Semuanya berpunca daripada kipas siling gagal berfungsi selepas sistem pendawaian dicuri kira-kira enam bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Khairul Haimi Kamaruzaman, 44, berkata murid ibarat belajar dalam 'sauna' kerana berpeluh sepanjang sesi pembelajaran.

"Keadaan paling teruk ketika musim cuaca panas baru-baru ini apabila murid dan guru tidak mempunyai pilihan belajar di tempat lain.

"Ini kali kedua kes ini berlaku selepas tiga tahun lalu. Sistem pendawaian termasuk kabel yang dicuri ketika cuti Tahun Baharu Cina lalu membabitkan semua kelas di bangunan sekolah satu tingkat ini.

"Setiap hari murid termasuk anak saya mengadu tidak dapat belajar dengan selesa dan berpeluh teruk, terutama pada tengah hari.

"Keadaan ini juga menjadi antara punca separuh daripada ibu bapa memindahkan anak mereka ke sekolah lain, menyebabkan bilangan murid hanya tigga 60 orang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah ada memohon bantuan daripada Pejabat Menteri Besar beberapa bulan lalu, namun khuatir kes itu terlepas pandang berikutan perubahan pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berharap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun, memberi perhatian terhadap masalah berkenaan dan membantu menyalurkan peruntukan baik pulih sistem pendawaian yang dianggar antara RM15,000 hingga RM20,000 itu.

Katanya, PIBG dan guru bimbang sekolah itu terpaksa ditutup jika lebih ramai murid dipindahkan walaupun kedudukannya lebih jauh dari kawasan perumahan.

Berita Harian X