Rabu, 11 Julai 2018 | 12:22pm
ABU Hasan (dua dari kanan) bersama dengan penghuni penjara Penor pada program Jalinan Kasih Peringkat Penghuni Penjara Penor. - Foto Mohd Rafi Mamat
ABU Hasan (dua dari kanan) bersama dengan penghuni penjara Penor pada program Jalinan Kasih Peringkat Penghuni Penjara Penor. - Foto Mohd Rafi Mamat

Ahli keluarga dan masyarakat cetus keinsafan banduan

KUANTAN: Sokongan ahli keluarga dan masyarakat setempat menjadi penentu masa hadapan bekas banduan untuk insaf sepenuhnya atau kembali mengulangi kesalahan lalu.

Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata, banyak kes banduan kembali melakukan kesalahan yang pernah dilakukan seperti menagih, menyamun dan mengedar dadah kerana disisih oleh keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata, tanpa sokongan ahli keluarga dan masyarakat sukar untuk golongan terbabit kembali menjalani kehidupan normal dengan melakukan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dimiliki.

"Sepanjang berada di penjara setiap banduan diberi pelbagai kemahiran mengikut minat masing-masing seperti menjahit pakaian, menternak ikan, berkebun, bengkel kimpalan dan bertenun.

"Kita yakin kemahiran yang dimiliki dapat digunakan untuk mereka berdikari selepas dibebaskan nanti," katanya pada program Jalinan Kasih Peringkat Penjara Penghuni Penjara Penor, di sini.

Seramai 22 penghuni pelbagai kesalahan diberi peluang bertemu keluarga masing-masing sambil menikmati makanan disediakan, mereka juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh banduan.

Abu Hasan berkata, isteri yang suami mereka menjalani hukuman penjara perlu memberi sokongan dengan cara datang melawat sambil memberi motivasi dan kata semangat supaya tidak terjebak semula dengan jenayah dilakukan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bercadang mengadakan program jalinan kasih yang lebih meriah pada masa akan datang sambil membuka peluang lebih ramai penghuni bertemu ahli keluarga masing-masing.

"Kali ini hanya 22 penghuni Penjara Penor dibenarkan bertemu keluarga, kita menerima 60 permohonan.

"Selepas tapisan dilakukan hanya mereka yang layak saja diluluskan," katanya memuji sokongan ahli keluarga yang datang.

Sementara itu, Mazlan, 31, (bukan nama sebenar) yang melakukan kesalahan pecah amanah berjumlah RM40,000 tahun lalu berkata, kehadiran ahli keluarga termasuk isteri dan tiga anak menggembirakannya.

"Aidilfitri kali ini begitu bererti buat saya apabila terpaksa beraya di penjara Penor namun dengan kehadiran ahli keluarga pada program jalinan kasih dapat mengubat kerinduan pada mereka.

"Saya menyesal dan kini insaf dengan kesalahan dilakukan apabila dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan tiga sebatan, kesilapan lalu menjadi pengajaran berguna buat saya," katanya yang sudah menjalani lapan bulan hukuman penjara.

Berita Harian X