Khamis, 5 Julai 2018 | 4:08pm
DR A Xavier Jayakumar meninjau persekitaran tapak projek sewaktu membuat lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat hari ini. - Foto BERNAMA
DR A Xavier Jayakumar meninjau persekitaran tapak projek sewaktu membuat lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat hari ini. - Foto BERNAMA

LRA Langat 2 mula bekal air November ini

HULU LANGAT: Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 akan membekalkan sebanyak 325 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan penduduk Selangor mulai November ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata dengan penyaluran berkenaan, ia akan meningkatkan rizab air negeri daripada tiga peratus ke paras tujuh peratus dan mampu menampung sehingga satu juta isi rumah.

"Ia akan menambah pengeluaran air sedia ada iaitu 4,431 MLD dari 34 LRA untuk keperluan penduduk negeri Selangor," katanya pada program lawatan tapak LRA Langat 2 di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat tertutup bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan SMHB Engineering Sdn Bhd mengenai projek berkenaan.

Dr Xavier Jayakumar berkata projek LRA Langat 2, yang menelan kos berjumlah RM8 bilion, dijadual siap sepenuhnya pada 2022 dan berupaya membekalkan 1,130 MLD, mencukupi untuk kegunaan penduduk Lembah Klang.

Pembinaan LRA Langat 2 merangkumi 15 pakej membabitkan kawasan antaranya Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.

LRA berkenaan yang dimulakan pembinaanya pada 2014 kini telah 72 peratus siap.

Dr Xavier Jayakumar berkata kementerian akan menyediakan satu kertas kerja bagi mewujudkan sistem untuk meminimumkan pencemaran air dari Pahang sebelum masuk ke dalam loji rawatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kabinet telah meluluskan tempoh lanjutan selama sebulan bagi menyelesaikan isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan kerajaan negeri Selangor.

Selasa lepas, beliau memberi jaminan dapat menyelesaikan isu penstrukturan air di Selangor dalam tempoh sebulan. Jaminan untuk menyelesaikan perkara itu terkandung dalam manifesto 100 hari Pakatan Harapan sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. - BERNAMA.

Berita Harian X