Ahad, 24 Jun 2018 | 3:56pm
PEKERJA ladang membantu seorang pekerja ladang sawit yang maut selepas dihempap jentera pengolek dipandunya dalam kejadian di kawasan sebuah ladang sawit di Jalan Miri-Bintulu. - Foto Ihsan polis
PEKERJA ladang membantu seorang pekerja ladang sawit yang maut selepas dihempap jentera pengolek dipandunya dalam kejadian di kawasan sebuah ladang sawit di Jalan Miri-Bintulu. - Foto Ihsan polis

Maut dihempap jentera penggelek

MIRI: Seorang pekerja ladang maut selepas dihempap jentera penggelek dipandunya yang terbabas di ladang sawit di Jalan Miri-Bintulu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Ahmad Jeffri, 19, yang berasal Indonesia ditemui pekerja lain dalam keadaan ditindih jentera berkenaan selepas melihat jentera itu terbabas di bahu jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa sedang memandu jentera berkenaan sebelum hilang kawalan.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan jentera berkenaan terbalik di kawasan curam dan berpusing mengakibatkan mangsa dihempap.

"Mangsa disahkan maut serta merta akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya.

Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian oleh pekerja ladang lain sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan ladang berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X