Sabtu, 2 Jun 2018 | 1:48pm
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu (dua dari kanan) dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Muslim Manja (tiga dari kiri) mengacau dodol pada program mengimarahkan Ramadan@Pasar Tani Kuala Pilah di tapak Pasar Tani di Pekan Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu (dua dari kanan) dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Muslim Manja (tiga dari kiri) mengacau dodol pada program mengimarahkan Ramadan@Pasar Tani Kuala Pilah di tapak Pasar Tani di Pekan Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya

Pasar Tani Komuniti bakal dibuka di Jempol

KUALA PILAH: Sebuah pasar tani komuniti bakal dibuka di daerah Jempol bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli barang keperluan harian dengan harga berpatutan.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Muslim Manja berkata, pasar tani itu bakal diadakan di Sungai Lui, Air Hitam dan dijangka beroperasi Julai ini.

"Pemilihan tapak ini sudah dipersetujui pihak pentadbir daerah Jempol dan lokasi ini adalah sesuai bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

"Pasar tani ini bakal memberi kemudahan kepada penduduk berhampiran seperti Kampung Baru Air Hitam, Felcra Air Hitam, Kampung Dusat, Felda Lui Barat, Felda Lui Selatan, Felda Lui Timur termasuk dari Felda Raja Alias serta Felda Pasoh 3 untuk mendapatkan barang dengan harga berpatutan selepas beroperasi kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program mengimarahkan Ramadan@Pasar Tani Kuala Pilah di tapak Pasar Tani di Pekan Kuala Pilah, di sini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu.

Muslim berkata, pembukaan tapak baharu ini sesuai dengan permintaan orang ramai yang memilih pasar tani sebagai tempat untuk membeli barang keperluan seharian.

"Tapak ini mampu diisi 40 gerai, namun buat masa ini kita menerima pendaftaran daripada seramai 20 peniaga.

"Kita berharap lebih ramai lagi usahawan pasar tani yang tampil untuk memasarkan produk mereka," katanya.

Menurutnya, sehingga kini Negeri Sembilan mempunyai 24 pasar tani dan penambahan tapak pasar tani di setiap daerah akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta permintaan daripada penduduk setempat.

Katanya, pasar tani Kuala Pilah mula beroperasi pada 25 Mac 1986 dan kini sudah menjangkau usia 32 tahun.

Ia beroperasi setiap Sabtu bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari membabitkan 70 usahawan.

"Selain pasar tani Kuala Pilah, kita juga mempunyai dua lagi pasar tani di daerah ini iaitu pasar tani Senaling dan pasar tani Giant.

"Untuk rekod, nilai jualan ketiga-tiga pasar tani ini bagi tempoh Januari hingga April tahun ini adalah RM501,372 iaitu pasar tani Kuala Pilah (RM454,522) pasar tani Giant (RM17,620) dan pasar tani Senaling (RM29,200)," katanya.

Menurutnya, nilai jualan yang dicatatkan oleh 24 buah pasar tani seluruh Negeri Sembilan bagi tempoh yang sama adalah RM8.9 juta.

"Pasar tani Ampangan, Seremban mencatatkan rekod jualan tertinggi iaitu RM1.02 juta dikuti pasar tani Paroi Jaya sebanyak RM1.01 juta dan pasar tani Rembau iaitu RM726,532," katanya.

Muslim berkata, sehingga kini seramai 1,097 usahawan pasar tani berjaya dilahirkan di seluruh negeri.

Katanya, dengan penambahan tapak pasar tani yang baharu kelak, ia dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan pasar tani sekali gus mampu memberi peluang pekerjaan.

Keterangan Gambar

1. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Mohamad Nazaruddin Sabtu (empat dari kanan) dan Pengarah FAMA negeri, Muslim Manja (empat dari kiri) bergambar ketika merasmikan program Mengimarahkan Ramadan@Pasar Tani Kuala Pilah di tapak pasar tani Kuala Pilah.

2. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Mohamad Nazaruddin Sabtu (dua dari kanan) dan Pengarah FAMA negeri, Muslim Manja (tiga dari kiri) mengacau dodol pada program Mengimarahkan Ramadan@Pasar Tani Kuala Pilah di tapak pasar tani Kuala Pilah.

tamat

Berita Harian X