Ahad, 27 Mei 2018 | 11:18pm
TAN Sri Zulkiple Kassim (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Zakat ATM kepada Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw (kiri) pada majlis berbuka puasa di Kem Penrissen Kuching. - Foto Mohd Roji Kawi
TAN Sri Zulkiple Kassim (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Zakat ATM kepada Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw (kiri) pada majlis berbuka puasa di Kem Penrissen Kuching. - Foto Mohd Roji Kawi

Program kebajikan tentera diteruskan walau kerajaan berubah

KUCHING : Perubahan Kerajaan Persekutuan tidak akan mengubah program kebajikan yang sudah dirancang untuk anggota tentera di seluruh negara.

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, berkata banyak program kebajikan membabitkan pendidikan, perubatan dan perumahan sudah dirancang dengan teliti dan tiada sebab ia dihentikan.

"Perkara ini diberi jaminan oleh Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) dan kita akan meneruskannya demi kebajikan anggota kita," katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Medan Timur di perkarangan Masjid Solehuddin Al-Ayyubi, di Kem Penrissen, malam ini.

Yang turut hadir, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar; Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw; Panglima Pasukan Petugas 450, Mejar Jeneral Zulkapri Rahamat dan semua Panglima Formasi bawah naungan Pemerintahan Medan Timur.

Sementara itu, Zulkiple menggesa semua peringkat pegawai dan anggota TDM supaya kembali memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama memastikan keselamatan negara terjamin.

"Pilihan raya sudah selesai dan negara sudah mengalami perubahan pentadbir, tetapi bagi kita paling utama ialah menumpukan perhatian kepada tugas dan tanggungjawab utama yang diamanahkan kepada kita sejak dahulu lagi.

"Bagi meneruskan tugas murni ini, kita harus mengukuhkan barisan untuk memastikan peranan kita berkesan dan bagi mencapai kejayaan, kita harus mengukuhkan kekuatan sebagai satu pasukan bagi menghadapi sebarang ancaman yang menjejaskan keselamatan negara," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan sumbangan daripada Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk lapan masjid dan sepuluh surau dalam kawasan 1 Divisyen Infantri.

Berita Harian X