Isnin, 30 April 2018 | 1:30pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng (dua dari kanan) bertukar memorandum dengan Ahli Lembaga Pengarah Penang Port Sdn Bhd, Ian Brian James (tiga dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di Hotel Royal Chulan, Pengkalan Weld, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
PENGERUSI Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng (dua dari kanan) bertukar memorandum dengan Ahli Lembaga Pengarah Penang Port Sdn Bhd, Ian Brian James (tiga dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di Hotel Royal Chulan, Pengkalan Weld, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Prasarana ambih alih operasi feri Pulau Pinang

GEORGETOWN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui anak syarikatnya, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd, akan mengambil alih operasi feri Pulau Pinang daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), mulai esok.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheing, berkata perkhidmatan feri berkenaan dikendalikan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sejak 1 Januari 1994 berikutan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ketika itu.

Katanya, Rapid Ferry sebagai pengendali baharu akan turut mengambil alih semua hartanah milik SPPP di Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda melalui proses pajakan.

"Selaras keputusan Kerajaan Pusat tahun lalu, feri Pulau Pinang akan diserahkan kepada Prasarana mulai 1 Mei 2018 (esok) dengan operasi hariannya dikendalikan kakitangan Rapid Ferry.

"Perjanjian pengambilalihan ini juga menyaksikan semua hartanah SPPP bawah PPSB akan dipajak kepada pengendali baharu mulai tarikh berkenaan," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Prasarana diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafizee Abd Rahman, manakala PPSB diwakili Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Teik Cheing berkata, berdasarkan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SPPP dan Prasarana, tambang feri dijangka kekal pada kadar RM7.70 bagi kereta, motosikal (RM2), pejalan kaki (RM1.20) dan pelajar (60 sen).

"Kita menjangkakan perkhidmatan feri bakal mengalami proses transformasi bertujuan menyediakan perkhidmatan lebih cekap, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

"SPPP bagaimanapun kekal berperanan sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pihak Kawal Selia ke atas operasi serta pengendali perkhidmatan, selain terus mengendalikan pelabuhan sedia ada," katanya.

Prasarana dijangka mengadakan sidang media berasingan pada 5 Mei depan bagi membentangkan perancangan jangka pendek dan panjang bagi operasi harian feri Pulau Pinang.

Berita Harian X