Selasa, 10 April 2018 | 11:53am
MENTERI Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Surau Perigi Talan, Mat Lasim Othman di Rembau, malam tadi. - Foto Mohd Amin Jalil
MENTERI Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Surau Perigi Talan, Mat Lasim Othman di Rembau, malam tadi. - Foto Mohd Amin Jalil

Berjaya bangunkan umat, tinggikan syiar Islam

REMBAU: Usaha kerajaan negeri membangunkan umat dan meninggikan syiar Islam terbukti berjaya, termasuk dalam aspek kepentingan modal insan.

Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selain membina dan menaik taraf masjid serta surau, kerajaan negeri juga memberi tumpuan pada bidang pendidikan agama.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah mewujudkan Kelas Agama Petang (KAP) sejak 2005 bagi mempertingkat pendidikan asas agama dalam kalangan generasi muda, dan melakukan transformasi terhadap sekolah menengah agama negeri (SMAN).

"Melalui KAP, ramai anak muda mendapat pendidikan asas agama yang sempurna dan menguasainya dengan baik. Mereka juga menguasai bacaan al-Quran dengan lancar.

"Seterusnya, transformasi terhadap SMAN dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan memberi impak amat baik apabila prestasi dan pencapaian pelajar dalam keputusan peperiksaan melonjak secara mendadak.

"Malah, negeri ini berjaya menduduki tempat pertama peringkat kebangsaan tujuh tahun berturut-turut dalam pencapaian keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Surau Perigi Talan, Kampung Bintongan di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Selamat Paigo; Pegawai Daerah Rembau, Amino Agus Suyub; dan Pengerusi surau berkenaan, Mat Lazim Othman.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, usaha positif itu tidak harus terhenti dan akan dipacu lagi jika rakyat memberi mandat untuk BN terus menerajui kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya menjadikan institusi ibadat tempat bersatu padu dan bukannya medan perpecahan sesama mereka.

Meskipun wujud perbezaan pandangan dan pendapat, beliau berkata, jangan sehingga membawa perpecahan serta permusuhan yang akhirnya merugikan orang Melayu dan umat Islam sendiri.

"Kita kena tunjuk umat Islam itu kuat supaya dihormati. Apa gunanya jika orang lain tidak memandang dan memperlekehkan kita.

"Kita harus sedar bahawa amat penting untuk orang Melayu kuat demi memastikan syiar Islam dapat terus bersinar dan memajukan umat," katanya.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan bantuan RM10,000 kepada surau terbabit bagi melengkapkan kemudahan bersesuaian dan melaksakanakan aktiviti keagamaan.

Keterangan gambar:

1. Mohamad menyerahkan replika cek kepada Mat Lazim.

2. Mohamad menandatangani plak perasmian Surau Perigi Talan, Kampung Bintongan.

Berita Harian X