Sabtu, 7 April 2018 | 6:42pm
PERSEMBAHAN tarian Jepun di Majlis Perasmian Japan Endless Discovery di Pasaraya Aman Central. -Foto Sharul Hafiz Zam
PERSEMBAHAN tarian Jepun di Majlis Perasmian Japan Endless Discovery di Pasaraya Aman Central. -Foto Sharul Hafiz Zam
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Negeri Datuk Suraya Yaacob (kiri) menunjukkan salah satu produk keluaran syarikat Jepun pada Majlis Pelancaran Japan Endless Discovery di Pasaraya Aman Central. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat Negeri Datuk Suraya Yaacob (kiri) menunjukkan salah satu produk keluaran syarikat Jepun pada Majlis Pelancaran Japan Endless Discovery di Pasaraya Aman Central. - Foto BERNAMA

Aman Central penyumbang aktiviti ekonomi Kedah

Gambar Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Pusat beli-belah Aman Central terus menjadi titik pembangunan di Kedah berikutan berjaya menarik jumlah pengunjung yang memberangsangkan setiap tahun, sejak beroperasi pada Oktober 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata kejayaan pusat membeli belah bertaraf antarabangsa itu menarik lebih sejuta pengunjung setiap bulan, membuktikan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

"Pengunjung yang ke sini, bukan saja pengunjung dari negeri Kedah, malah pengunjung dari Thailand dan Perlis juga turut menjadikan Aman Central sebagai tempat untuk mereka membeli belah.

"Tambahan pula, semasa musim perayaan utama seperti Hari Natal, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, jumlah pengunjung meningkat kepada 1.2 juta sehingga 1.3 juta pada bulan tersebut.

"Malah, peniaga kecil-kecilan berhampiran Aman Central turut mendapat limpahan, sekali gus memangkin ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan acara 'Japan Endless Discovery' di Aman Central, di sini, hari ini.

Suraya turut memuji pengurusan Aman Central yang berjaya melakukan pelbagai promosi yang kreatif untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pusat membeli belah itu

Sebagai contoh, katanya, penganjuran 'Japan Endless Discovery' akan memberi pengalaman berbeza buat pengunjung Aman Central sepanjang bulan April ini.

"Setiap bulan Aman Central bijak mengatur strategi bagi menarik lebih ramai pengunjung, saya rasa usahawan di luar sana boleh menjadikan Aman Central sebagai contoh dalam strategi pemasaran.

"Sekiranya lebih ramai usahawan di luar sana dapat melakukan usaha seperti Aman Central, kerajaan negeri yakin industri pelancongan di negeri ini akan terus berkembang pesat," katanya.

Sebanyak 11 pameran berkaitan produk Jepun dipamerkan di ruang legar termasuk makanan popular dari Jepun iaitu kuih Mochi yang dihasilkan di Jeniang.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Aman Central, Marcus Tan dan Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Ken Chin.

Berita Harian X