Jumaat, 6 April 2018 | 5:32pm
KELAB K69 bersama seramai 50 anak-anak Lorong Keluarga 3/9 Taman Seri Pristana Sg Buloh menyertai Perkhemahan Kem Jati Diri 2.0 di Padang Aktiviti K69 Seri Pristana. - FotoIhsan Kelab K69
KELAB K69 bersama seramai 50 anak-anak Lorong Keluarga 3/9 Taman Seri Pristana Sg Buloh menyertai Perkhemahan Kem Jati Diri 2.0 di Padang Aktiviti K69 Seri Pristana. - FotoIhsan Kelab K69

Program luar sekolah bentuk jati diri murid

KUALA SELANGOR: Sekumpulan ibu bapa komited menangani gejala sosial dan budaya gajet menerusi Perkhemahan Kem Jati Diri 2.0 ke arah membentuk jati diri murid.

Pengurus Program Kem Jati Diri 2.0 Kelab K69, Mohd Nuhairi Mohd Bakri, berkata selain ilmu dan kemahiran yang diperoleh di sekolah, kem sedemikian boleh memupuk semangat bekerjasama di samping menjana minda kreatif murid.

Katanya, ibu bapa boleh menjadikan program seumpama itu sebagai pemangkin anak mereka berdepan cabaran akademik dan menangani gejala sosial serta budaya gajet yang amat menakutkan.

"Ia bersesuaian dengan objektif program bagi melahirkan pelajar cemerlang dan aktif dalam pelbagai bidang, selain membentuk sahsiah terpuji serta disiplin tinggi berdasarkan aktiviti dilaksanakan.

"Kem ini juga sebagai usaha memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan dan meningkatkan jati diri yang mulia dalam kalangan peserta," katanya kepada NSTP.

Program anjuran Kelab K69 membabitkan 50 peserta berusia enam tahun hingga 15 tahun itu diadakan di Padang Aktiviti K69 Seri Pristana, di sini, pada 30 hingga 1 April lalu.

Peserta terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, SK Saujana Utama dan Sekolah Agama Nurul Iman, Meru yang tinggal di Lorong Keluarga 3/9, Taman Seri Pristana, di sini.

Mohd Nuhairi berkata, kepelbagaian pengisian aktiviti dalam kem selama tiga hari itu memberi peluang kepada anak-anak menonjolkan kemampuan masing-masing.

Katanya, antara aktiviti yang diadakan ialah demonstrasi keselamatan kebakaran oleh pasukan bomba sukarela Saujana Utama, demonstrasi kesihatan dari Hospital Sungai Buloh, praktikal solat, Qiamullail, malam kebudayaan bertemakan tahun 60-an dan abseiling.

Lebih menarik, katanya, penganjuran diusahakan ibu bapa dan penjaga peserta dengan pelbagai kepakaran tanpa mendapatkan khidmat pihak luar.

"Program ini kali kedua diadakan dan rasanya jarang kita dengar ibu bapa sendiri sepakat menganjurkan aktiviti seumpama ini.

"Dengan kepakaran ahli kelab dalam pelbagai bidang seperti pensyarah, guru, arkitek, jurutera, jururawat mahupun suri rumah, masing-masing menyumbang tenaga dan berganding bahu merancang program itu.

"Kami juga menggunakan kepakaran sedia ada dalam menggerakkan aktiviti seperti abseiling dan demonstrasi kesihatan dengan menggunakan kepakaran ibu bapa serta keluarga dalam Kelab K69," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap Kelab K69 dapat menjadi pelopor dalam usaha berterusan untuk memastikan anak-anak bergiat aktif bukan sahaja di sekolah tetapi di luar sekolah.

"Kelab kami juga aktif menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk sambutan bulan kemerdekaan, tahun baharu, ziarah raya, sambutan hari lahir, berkhatan dan kenduri-kendara," katanya.

Berita Harian X